SUKAN
Asah bakat menerusi program akar umbi: TNB tulang belakang pembangunan sukan hoki Malaysia
KUALA LUMPUR: Di sebalik sorakan gemuruh yang menggegarkan stadium dek aksi hebat pemain hoki negara di pentas antarabangsa, ada kisah yang masih tidak diketahui oleh ramai rakyat Malaysia.
Ringkasan AI
- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melabur sebanyak RM50 juta sejak 2004 dalam pembangunan sukan hoki Malaysia, termasuk menjadi penaja utama Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
- TNB turut menubuhkan pasukan pembangunan seperti TNB Thunderbolts dan menyokong tujuh sekolah sukan dengan latihan, dana dan jurulatih berkaliber, melahirkan ramai pemain muda berbakat termasuk dari golongan B40 dan luar bandar.
- Kerjasama TNB bersama MHC, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan melalui program pembangunan hoki telah melibatkan hampir 3,900 pelajar, membuktikan komitmen jangka panjang syarikat dalam membina masa depan hoki negara.
Syarikat itu telah melabur sebanyak RM50 juta dalam pembangunan sukan hoki Malaysia selain menjadi rakan penaja utama sukan hoki Malaysia, Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) sejak lebih dua dekad lalu.
TNB juga adalah penaja utama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan beberapa pasukan pembangunan hoki sekolah dalam negara, seperti SSTMI Thunderbolts, BJSS Thunderbolts, dan banyak lagi selain menaja beberapa kejohanan hoki lain, termasuk TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL).

Samsul Ariffin ketika bercakap di dalam program Nadi Arena. - Foto YouTube Astro Arena
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin berkongsi, sejak 2004, syarikat itu telah melabur sebanyak RM50 juta untuk membangunkan sukan hoki Malaysia, juga menjadi rakan penaja utama sukan hoki Malaysia, Liga Hoki Malaysia (TNB MHL).
“TNB terlibat dalam sukan hoki bermula 1975 ketika Piala Dunia Hoki. Kemudian kami wujudkan TNB Thunderbolts iaitu pasukan remaja TNB yang akan menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan negara.
“Setakat ini, kami dah bantu tujuh buah sekolah, daripada segi pembangunan, latihan, sumber kewangan untuk bakat-bakat muda melibatkan diri dalam pasukan remaja,” katanya ketika ditemu bual dalam program Nadi Arena.

Subahan Kamal ketika bercakap di dalam program Nadi Arena. - Foto YouTube Astro Arena
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal mengakui, TNB adalah nadi kepada pembangunan sukan hoki negara kerana misi syarikat itu mengasah bakat-bakat baharu untuk ditonjolkan ke persada antarabangsa.
“Pendedahan yang baik adalah dengan menghantar bakat-bakat baharu ini merasai sendiri pengalaman bertanding di luar negara sebagai salah satu cara menggilap kebolehan mereka.
“TNB komited membantu merealisasikan impian ini. Daripada segi dana memang kita bekerjasama bersama, selain dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk Hockey Development Program melibatkan hampir 3,900 pelajar dari seluruh pelosok negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Astro AWANI juga sempat mendapatkan pandangan daripada jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang memberikan pandangan berhubung sumbangan TNB dalam sukan hoki Malaysia.
“Sumbangan TNB dalam masa jangka panjang ni telah membantu ramai anak-anak muda daripada kalangan B40 dan luar bandar, jadi tanpa sokongan daripada TNB, mungkin sukan hoki negara tidak sehebat hari ini.
“Selain itu, TNB juga menyumbangkan tenaga-tenaga berkaliber dengan barisan jurulatih yang merupakan bekas-bekas pemain kebangsaan.
"Sudah tentulah mereka mempunyai kepakaran luar biasa untuk mengasah bakat-bakat baharu ditambah sikap mereka yang rata-rata sangat mendukung (supportive).
“Program Thunderbolts ini terbukti berkesan kerana bakat baharu dilahirkan daripada program ini dan kemudiannya diserap masuk ke skuad kebangsaan,” jelasnya ketika dihubungi.
Dalam perjalanan membina pasukan yang mampu mengharumkan nama negara, TNB dan MHC telah membuktikan bahawa dengan visi yang jelas dan sokongan berterusan, kejayaan bukan lagi impian jauh.
Sukan hoki Malaysia terus berkembang pesat hasil kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap potensi akar umbi.
Apa yang lebih penting daripada piala dan pingat adalah nilai semangat, disiplin dan perpaduan yang terhasil dari padang hoki,suatu warisan yang akan terus menyala, selama mana masih ada cahaya yang disumbangkan oleh insan dan institusi yang peduli.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami