MAURIZIO SARRI masih tidak pasti dengan masa depannya sebagai pengurus Chelsea sambil membincangkan tentang berita yang mengaitkannya dengan juara Serie A, Juventus.

Sarri meraih kejuaraan utama pertamanya selepas membawa Chelsea menewaskan Arsenal 4-1 dalam final Liga Europa di Baku, awal pagi tadi.

Pengendali berbangsa Itali itu tiba di Stamford Bridge dengan kontrak selama tiga tahun pada Julai lalu, namun sedang hangat dikaitkan untuk mengisi jawatan kosong di Juventus.

Sarri membincangkan mengenai desas-desus itu sambil menjelaskan perpindahan ke Turin itu tidak akan mengecewakan penyokong bekas pasukan bimbingannya, Napoli.

"Juve? 20 hari lalu, saya hampir pasti menyertai Roma, kemudian Milan dan kini Juventus," katanya kepada Sky Sports.

"Selagi anda membaca akhbar, ia tidak akan mendatangkan kesan.

"Penyokong Napoli tidak mahu saya menyertai mereka?

"Penyokong itu tahu tentang rasa kasih saya terhadap mereka.

"Saya sentiasa menghormati mereka, namun dalam profesionalisme, ia akan membawa anda ke jalan yang berbeza, namun hubungan itu tidak akan berubah," katanya.

Di sebalik tekanan hebat sejak awal musim ini, Sarri membawa Chelsea meraih kejuaraan Liga Europa dan meraih tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris.

Dia masih belum pasti mengenai masa depannya, namun menjelaskan akan mengadakan perbincangan dengan Chelsea.

"Saya tidak pasti sama ada saya akan pergi, jika tidak, saya fikir ia masanya untuk meraikan kejayaan dan merumuskan prestasi musim ini.

"Saya akan meminta pihak pengurusan untuk menambah baik sesuatu dan saya akan mendengari mereka tentang apa yang perlu diperbaiki.

"Saya masih ada kontrak dua tahun," tambahnya.