KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mampu memberikan cabaran sengit dalam divisyen satu kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Amerika Syarikat (AS) jika diberi ruang bersaing dalam kejohanan itu.

Bekas atlet kebangsaan, Liew Wai Hon, 55, yang berpangkalan di AS sebagai pendidik di Minnesota, berkata keyakinan berkenaan berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet kelahiran Ipoh, Perak itu.

"Saya yakin kalau Muhammad Azeem ke sana (AS) memang terus sertai divisyen satu sebab prestasi 10.09 saat (s) sangat menakjubkan. Lagi pun divisyen berkenaan hanya dikhaskan kepada atlet yang mempunyai prestasi kelas dunia.

"Beliau (Muhammad Azeem) juga ada potensi untuk sampai ke final atau berada dalam lapan terbaik di AS, namun memerlukan kesungguhan yang tinggi untuk berada di tangga teratas kejohanan," katanya ketika ditemui selepas program bual bicara Bernama TV - The Nation, semalam.

Divisyen satu dikhaskan bagi kelompok atlet terbaik dengan atlet profesional terbanyak hadir dalam kategori ini, manakala divisyen dua mempunyai beberapa atlet yang baik dan segelintir yang boleh bersaing dengan divisyen satu peringkat rendah.

Muhammad Azeem berjaya memecah rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, baru-baru ini, mengatasi rekod milik Khairul Hafiz Jantan (10.18s).

Menurut Wai Hon, Majlis Sukan Negara (MSN) ada menghubungi beliau bulan lepas bagi mendapatkan maklumat terkini universiti-universiti AS seperti Universiti Houston atau Universiti Auburn yang telah memberikan tawaran kepada Muhammad Azeem untuk belajar di universiti berkenaan.

Katanya, beliau telah mengadakan satu sesi perbincangan dalam talian bersama pihak MSN, Muhammad Azeem, kedua ibu bapanya dan jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah untuk membincangkan universiti yang mampu memberikan kelebihan jangka panjang kepada atlet itu.

"Saya bukan ejen kepada universiti berkenaan cuma pihak MSN memang ada minta tolong dengan saya untuk memberitahu apa kelebihan universiti, bagaimanapun, saya rasa Muhammad Azeem memerlukan masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan keadaan serba baharu di sana.

"Mungkin dalam tahun dua dia sudah boleh menyesuaikan diri. Namun sebagai seorang atlet amatur beliau tidak boleh mendapatkan sebarang tajaan kewangan kerana boleh menyebabkan kehilangan status pelajar, sebaliknya akan dikenali sebagai atlet profesional," katanya.

Beliau yang pernah menjadi alumni pelajar atlet di Universiti Minnesota pada era 80-an, merupakan antara individu yang membantu seorang lagi atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy, mendapat tawaran belajar sebagai atlet di Winona State University.

-- BERNAMA