Badi 20 tahun berterusan: Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia

Leong Jun Hao ketika beraksi dalam perlawanan akhir badminton berpasukan lelaki pada Sukan SEA ke-33 di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, Bangkok, 10 Dis 2025. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Harapan Malaysia untuk menamatkan penantian selama 20 tahun meraih pingat emas badminton berpasukan lelaki di Sukan SEA terus tergendala apabila tewas 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir di Sukan SEA Thailand 2025 di Pathum Thani, semalam.
Cabaran skuad negara bermula sukar di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, apabila pemain perseorangan Leong Jun Hao gagal menundukkan Alwi Faran, tewas 12-21, 19-21 dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung 46 minit.
Kedudukan Malaysia bertambah sukar dalam perlawanan kedua apabila bekas juara dunia 2022, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menonjolkan kehebatan apabila tewas mudah 12-21, 12-21 kepada pasangan nombor lapan dunia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam masa 34 minit.
Dalam perlawanan penentuan, pemain perseorangan kedua Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah bangkit pada saat genting untuk mengekalkan pingat emas bagi negaranya buat edisi kedua berturut-turut, menewaskan Justin Hoh 21-12, 21-14 dalam 43 minit.
Keputusan itu menyaksikan sasaran untuk membawa pulang emas dalam acara berpasukan lelaki yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2005 di Manila, Filipina, sekali lagi tidak kesampaian.
Selepas perlawanan, Aaron mengakui terlalu banyak kesilapan sendiri menjadi faktor kekalahan, manakala Wooi Yik menyuarakan kekecewaan kerana gagal menyamakan kedudukan untuk Malaysia.
Dengan Malaysia semakin ketinggalan, Justin mengakui keadaan itu menambah tekanan apabila beliau melangkah ke gelanggang menentang lawannya.
"Pasukan dia sudah menang dan mendapat kelebihan dua mata. Dia sangat yakin, jadi saya terasa sedikit tekanan," katanya.
Kini, selepas acara berpasukan tamat, Justin berkata beliau akan menumpukan perhatian kepada acara perseorangan yang bermula esok apabila dijadualkan menentang pemain nombor tiga dari Singapura, Jason Teh.
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia gagal membalas kekalahan 1-3 kepada Indonesia dalam final berpasukan lelaki edisi 2023 di Phnom Penh.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah - Bangkok dan Chonburi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


