PEMENANG pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou, berbesar hati menerima imbuhan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun bukan di bawah naungan badan induk itu.
Liek Hou bakal menerima sagu hati berjumlah RM200,000 sementara jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek, pula meraih RM50,000.
Bagaimanapun, dalam kegembiraannya menerima perkhabaran tersebut, Liek Hou turut menerima satu perkhabaran kurang enak apabila hasrat untuk kembali ke Jepun bagi Kejohanan Dunia Para bulan depan tidak kesampaian.
Ia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan penundaan saingan tersebut.
"Saya tidak dapat berbuat apa-apa sebab kes pandemik di Jepun sangat tinggi.
"Jadi mereka mahu jaga keselamatan kami sendiri juga.

"Jadi sekarang saya tidak perlu lagi fokus dalam latihan dan ia memberi peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
"Ketika Sukan Paralimpik lagi penganjur mungkin sudah berdepan banyak rungutan daripada masyarakat Jepun sendiri untuk Sukan Paralimpik.
"Jadi mereka tidak mahu lagi mengelola kejohanan-kejohanan seterusnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Untuk rekod, Liek Hou pernah muncul juara lima kali bagi acara perseorangan SU5 dengan penampilan terakhirnya di Basel 2019 menyaksikannya memungut gangsa.