KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memulakan proses pencarian pengganti Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Wong Choong Hann, yang membuat keputusan meletakkan jawatannya.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata proses mencari pengganti berkebolehan bagi mengisi jawatan itu, akan mengambil masa dan badan induk sukan tersebut hanya akan membuat pengumuman rasmi selepas ia dimuktamadkan.

"BAM tidak akan meninggalkan sebarang usaha untuk mencari calon yang sesuai untuk jawatan itu," katanya dalam satu kenyataan BAM hari ini.

Mohamad Norza dalam masa sama, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Choong Hann atas sumbangan besarnya kepada badminton Malaysia, sejak dilantik memegang jawatan itu pada 2018.

"Choong Hann telah banyak berkorban sepanjang perkhidmatannya bersama BAM dan kami tidak dapat berterima kasih kepadanya atas jasanya kepada sukan ini," katanya.

Choong Hann, 46, menerusi laporan media dimaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya pada minggu lepas, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun bersama BAM.

Kerjaya beliau di BAM bermula sebagai pengarah kejurulatihan kebangsaan pada November 2018, sebelum beliau berpindah sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan, tahun lepas.

-- BERNAMA