KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia silat Zakri Ibrahim meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meneliti serta memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan cadangan skim pencen bagi bekas atlet yang mencapai kejayaan di peringkat dunia.

Beliau berharap Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan meneruskan cadangan pemberian pencen kepada atlet, berikutan ramai bekas atlet, pesilat khususnya, sedang merana akibat pandemik COVID-19.

"Sebelum ini kita difahamkan bahawa ada pertimbangan untuk diberikan pencen kepada pemenang pingat emas kejohanan dunia sahaja, bukan untuk kejohanan lain," katanya pada satu sidang media di sini pada Jumaat.

Zakri yang juga mantan presiden Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN) masih menerima rintihan bekas-bekas pesilat negara yang kini ditimpa kesusahan akibat pandemik, berharap kebajikan bekas atlet mendapat perhatian sewajarnya.

"Memang ada bekas pesilat, termasuk juara dunia tiga kali, juara Sukan SEA tetapi tiada pekerjaan. Namun, kita berasa beruntung bekas-bekas pesilat negara mempunyai tempat mengadu begitu banyak, contohnya PBPN, Yayasan Kebajikan Bekas Atlet (YAKEB) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA)," katanya.

Tahun lepas, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencadangkan agar Olimpian dan atlet mencapai kejayaan di peringkat dunia, diberikan pencen.

-- BERNAMA