Nampaknya kelab Inggeris Chelsea pantas menggantikan kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois yang berhijrah ke kelan Sepanyol Real Madrid.

Tidak sampai sehari, The Blues membeli Kepa Arrizabalaga dari kelab Sepanyol, Athletic Bilbao untuk yuran perpindahan yang dilaporkan tertinggi setakat ini untuk penjaga gol iaitu 72 juta Pound (80 juta Euro/USD92 juta/RM377 juta).

Jumlah itu memecahkan rekod sebelumnya iaitu pembelian Alisson Becker oleh Liverpool dari kelab Itali, AS Roma pada bulan lepas yang bernilai 65 juta Pound (RM340 juta).

Kepa mengikat kontrak selama empat tahun untuk menjaga gawang kelab berpangkalan di Stanford Bridge itu.

“Banyak perkara menarik saya untuk ke kelab ini, semua gelaran yang pernah dimenangi, pemain-pemain lain, bandarnya, dan Liga Perdana Inggeris itu sendiri.

“Ia gabungan banyak faktor, dan saya amat berbesar hati Chelsea memutuskan untuk mempercayai saya dan membawa saya masuk,” kata penjaga gol berusia 23 tahun itu kepada laman web rasmi Chelsea.

Terdahulu pada hari sama, Chelsea mengumumkan pemergian Courtois dengan perjanjian yuran 31 juta Pound (hampir RM163 juta) dan kehadiran pemain tengah, Mateo Kovacic dari Madrid untuk pinjaman selama semusim.

Klausa penebusan kontrak juga dibayar Chelsea di mana wakil Kepa dan para peguamnya terbang ke ibu pejabat La Liga di Valencia untuk menyelesaikan urusan itu, sebelum ke London untuk menjalani ujian kecergasan serta memuktamadkan kontrak.

Sepanjang dua musim lepas, Kepa beraksi sebanyak 50 kali sepanjang dua musim bersama Bilbao malah berjaya mendapatkan tempat dalam pasukan Piala Dunia 2018 Sepanyol di Rusia tempohari.

Chelsea akan membuka tirai kempen Liga Perdananya dengan berkunjung ke Huddersfield Town pada Sabtu ini.