Lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada Isnin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta pasukan badminton negara atas pencapaian mereka di temasya sukan SEA ke-30 di Filipina.

Dalam entri terbaharu di akaun Instagramnya, Chong Wei berkata kejayaan pemain perseorangan wanita S.Kisona meraih pingat emas pertama, disusuli dengan perolehan pingat emas oleh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, benar-benar membawa kegembiraan yang berganda.

Jaguh berumur 37 tahun itu turut melabelkan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai 'Memang Ganas' selepas mereka meraih pingat emas yang ketiga di gelanggang badminton, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun.

"Pasangan campuran kita Goh Soon Huat-Shevon Lai pula raih pingat perak! Syabas!," katanya.




Chong Wei turut mengucapkan tahniah dengan kehebatan pasukan lelaki dan wanita, yang berjaya memenangi pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara berpasukan.

Skuad badminton negara menamatkan kempen di Filipina dengan menambah empat lagi pingat gangsa menerusi acara beregu wanita, beregu lelaki, dan beregu campuran.

Dua pasangan beregu wanita yang memenangi pigat gangsa terdiri daripada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, manakala pasangan beregu lelaki terdiri daripada Teo Ee Yi-Ong Yiew Sin, dan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

-- BERNAMA