Ketika ini nama bintang muda Jepun Kento Momota meniti di bibir Datuk Lee Chong Wei sebagai antara pencabarnya.
Satu perlawanan menentang Momota pada Seluruh England 2014 memadai untuk Chong Wei mencanang perseorangan Jepun itu sebagai bintang masa depan badminton dunia.
Dalam suasana berbeza pada Sabtu, Chong Wei/Momota berentap dalam aksi Purple League bagi penentuan kemenangan antara Petaling Jaya BC dan Ampang Jaya BC.
Meskipun menang menerusi format 11 mata dalam aksi lima terbaik, Chong Wei tetap berasakan Momota akan terus jadi lawan bahaya di pentas antarabangsa menuju ke temasya Olimpik.
"Momota menghasilkan beberapa kejayaan tahun ini, kejayaan dia di India dan Singapura meletakkan dirinya antara halangan saya di Rio nanti," jelas Chong Wei.
Aksi menentang Momota merupakan penampilan sulung Chong Wei di pentas Purple League memandangkan dia tidak dapat beraksi dalam musim pertama susulan penggantungan doping.
Dia yang berada di ranking ketiga dunia akan menjadikan beberapa siri dalam penampilan liga ini sebagai pemanas badan di samping rutin latihan pusat.