PEP Guardiola menyatakan kekagumannya terhadap Antonio Conte sambil menegaskan Tottenham tidak seharusnya panik dengan pencapaian tidak menentu kelab London itu.

Malah, bekas pengurus Bayern Munich itu percaya rakan sejawatannya tersebut mampu mengangkat nama Spurs asalkan dia mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi kelab.

Pada minggu ini, Conte mengadu kekurangan pemain selepas gagal menggunakan kesempatan dalam jendela perpindahan bulan lalu, ia senario berbeza yang dinikmati Guardiola sejak mengemudi The Citizens pada 2016 dan memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Jika kelab bergantung kepadanya 100 peratus, mereka akan berjaya," katanya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Etihad, awal pagi esok.

"Musim pertama saya di sini adalah sukar daripada segi keputusan. Setiap pengurus memerlukan masa, dia memerlukan pelaburan, banyak perkara yang perlu dilakukannya untuk berjaya di sana bagi tempoh yang panjang terutama di negara ini.

"Semua pengurus memerlukan masa. Malangnya dalam bola sepak, kami tidak mempunyai masa.

"Tapi saya mempunyai masa, kali ini kelab menawarkannya kepada saya dan sebab itulah saya sentiasa bersyukur. Tetapi semua pengurus memerlukan masa untuk membuat perancangan dan cuba meyakinkan pemain agar dapat menuruti apa yang diterapkannya."

Guardiola berkata tugas seorang pengurus di England adalah lebih sukar daripada mana-mana saingan lain di dunia ini tetapi dia percaya Conte telah membuktikan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih yang disegani ketika bersama Juventus, Chelsea dan pasukan kebangsaan Itali.

“Apabila menonton aksi pasukannya, saya rasa ada sesuatu yang baru yang boleh saya pelajari dan perbaiki,” katanya lagi.