DALEY Blind melengkapkan perpindahan mengejutnya ke Bayern Munich sebaik dilepaskan oleh Ajax.

Pertahanan Belanda itu telah dikaitkan dengan Royal Antwerp, tetapi dia mendapati peluang lebih menarik untuk menyertai pendahulu Bundesliga, Bayern.

Bekas pemain Manchester United berusia 32 itu kemudian memeterai kontrak selama enam bulan.

"Kami gembira Daley menyertai pasukan kami. Daley adalah pemain pertahanan serba boleh, mampu bermain di sebelah kiri atau di tengah.

"Dia mempunyai pengalaman antarabangsa yang hebat termasuk kualiti kepimpinannya. Saya pasti dia akan membantu kami," kata Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic.

Blind lulus ujian pemeriksaan perubatan dengan Bayern di sebalik pernah menghadapi masalah jantung pada Disember 2019.


Ia terbukti bukan satu halangan dan Blind kini bersedia untuk beraksi buat pasukan kendalian Julian Nagelsmann itu dalam memburu kejuaraan domestik dan Eropah.

Bercakap mengenai perpindahannya, Blind mengesahkan peluang menjulang gelaran menjadi faktor utama dalam keputusannya:

"Saya tidak sabar lagi untuk beraksi di sini. Kami akan mengharungi tempoh paling penting musim ini, ia boleh menjadi penentu kejuaraan dan kelab seperti Bayern mampu memenangi segala trofi.

"Kelab yang dahagakan gelaran ini merupakan kunci dalam keputusan saya. Saya harap saya mampu menggunakan pengalaman saya demi membantu pasukan. Saya akan mencurahkan segala-galanya buat Bayern Munich."