SUKAN
Delbove juara keseluruhan LTdL 2025

Pelumba pasukan TotalEnergies Joris Delbove berjaya menyarung Jersi Hijau (Pendahulu Keseluruhan) pada perlumbaan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTDL 2025) dari Melaka ke Medini hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelumba Perancis, Joris Delbove, dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 biarpun sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-17 pada peringkat kelapan dan terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Pelumba Perancis Joris Delbove dari pasukan TotalEnergies muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dengan masa 27 jam 17 minit 38 saat, walaupun menamatkan peringkat terakhir di tempat ke-17.
- Delbove menewaskan Ander Halland Johannessen (Uno-X Mobility) dan Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling Team) untuk mengekalkan Jersi Hijau, sementara Aaron Gate (XDS Astana) memenangi peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur.
- Pelumba Malaysia, Tsen Ren Bao dari pasukan St. George, dinobatkan sebagai pelumba terbaik negara selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-34 keseluruhan.
"Saya akan menghargai kenangan indah yang dicipta di Malaysia dan di LTdL. Ia benar-benar pengalaman luar biasa -- keindahan dan pemandangan negara ini sangat menakjubkan dan pada masa sama perlumbaan begitu sengit.
"Kemenangan ini amat bermakna buat saya dan saya sangat gembira," kata Delbove selepas tamat perlumbaan.
Terdahulu, pelumba XDS Astana, Aaron Gate menjuarai peringkat terakhir LTdL 2025 selepas menamatkan saingan sejauh 180.2 kilometer dengan catatan masa 3:50:05s, diikuti Aivaras Mikutis (Tudor Pro Cycling Team) dengan masa sama, manakala Nil Gimeno (Equipo Kern Pharma) di tempat ketiga, tujuh saat di belakang.
Jersi Jingga (Raja Pecut) dimenangi pelumba Uno--XMobility , Erlend Blikra yang mengumpul 63 mata, mengatasi Arvid de Kleijn (51 mata) dan Manuel Penalver Aniorte dari Team Polti VisitMalta (43 mata).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) menjadi milik Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL selepas mengumpul 15 mata, berkongsi jumlah sama dengan pelumba Burgos Burpellet BH, Jambaljamts Sainbayar, manakala ketiga milik Gimeno dengan 13 mata.
Dalam pada itu Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia disarung Nicolya Vinoukorov dari XDS Astana dengan catatan 27:17:49s, diikuti pelumba Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling) 27:19:21s dan Sainbayar di tempat ketiga (27:19:44s).
Pasukan terbaik keseluruhan milik Team Polti VisitMalta (81:53:46s), diikuti Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s) di tempat ketiga.
Sementara itu, pasukan terbaik Asia dimenangi Nusantara BYC (82:29:24s) diikuti Aisan Racing Team (82:29:33s) manakala tempat ketiga diraihThailand Continental Cycling Team (82:31:03s).
Pelumba negara Tsen Ren Bao dari pasukan St. George muncul pelumba terbaik Malaysia pada edisi kali ke-29 ini selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-34 keseluruhan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami