JOHOR BAHRU: Dokumentari mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) 'Fearless: Rise of the Southern Tigers' bakal disiarkan di saluran Discovery Asia, pada 9 malam (waktu Malaysia) esok.

JDT menerusi hantaran dalam laman Facebook Johor Southern Tigers menyatakan syarikat penerbitan 108 Media telah menandatangani perjanjian dengan Discovery, Inc. untuk menyiarkan dokumentari itu di rantau Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemilik JDT bertitah menzahirkan rasa gembira baginda apabila ramai penonton di Asia, akan dapat menonton kisah mengenai pasukan Harimau Selatan itu.

"Saya gembira kini lebih banyak tempat di Asia dapat menonton kisah hebat mengenai JDT dan bagaimana kami bekerja keras di belakang tabir, bagi memastikan kejayaan di dalam dan luar padang," titah baginda hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Ketua Bahagian Kandungan Asia Pasifik Discovery, Inc. Lynn Ng berkata pihaknya sentiasa melihat kepada kisah-kisah tempatan mengagumkan yang bergema di seluruh Asia Pasifik.

"Sebagai sukan paling popular Asia Tenggara, kebangkitan JDT adalah satu kisah kejayaan yang diraikan oleh semua, dan kami teruja untuk membawakan siri ini kepada penonton di rantau ini," katanya.

Hantaran itu menyatakan, 'Fearless: Rise of the Southern Tigers' mengisahkan tentang di belakang tabir bagaimana JDT diuruskan dan perubahan yang dilalui bola sepak Johor, semenjak Tunku Ismail mengambil alih pada tahun 2013.

Hantaran itu turut menyatakan dokumentari itu turut akan menceritakan mengenai visi Tunku Ismail untuk Johor dan bola sepak, ketelitian baginda dalam setiap segi, perkembangan kelab, perbincangan dalam membuat keputusan untuk kelab, penyokong bangsa Johor yang setia dan sebagainya.

"Isteri Tunku Mahkota Johor Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam turut akan menceritakan pengalaman baginda dan menerangkan bagaimana bersemangatnya Tunku Ismail.

"Dokumentari itu juga memaparkan temu bual bersama Pengarah Teknikal Alistair Edwards, Pengarah Sukan Martin Prest, Ketua Jurulatih Benjamin Mora bekas pengurus Luciano Figueroa, para jurulatih Akademi JDT, pemain dan penyokong, selain krew kamera turut mengikuti beberapa pemain dan ketua jurulatih ke kediaman masing-masing," menurut hantaran itu lagi.

-- BERNAMA