Dua kelab mahu sambar Salah

SALAH: Saya rasa sangat jelas bahawa ada seseorang yang mahu meletakkan semua kesalahan ke atas bahu saya. - Gambar fail/REUTERS
MASA depan Mohamed Salah di Liverpool kini ibarat 'retak menanti belah' selepas bintang sensasi itu membuat pendedahan mengejutkan mengenai hubungan dinginnya dengan pengurus, Arne Slot, sekali gus menarik minat dua kelab luar Eropah untuk mendapatkan khidmatnya.
Ringkasan AI
- Mohamed Salah membuat pendedahan mengejutkan mengenai hubungan dingin dengan pengurus Liverpool, Arne Slot, selepas diletakkan di bangku simpanan berturut-turut, menarik minat Al-Hilal dari Liga Pro Saudi dan San Diego FC dari MLS.
- Salah mendakwa dirinya dikhianati oleh kelab dan merasakan ada pihak yang tidak mahu beliau di Liverpool, menyebabkan spekulasi pemindahan beliau dari Anfield semakin meningkat.
- Liverpool dilaporkan terkejut dengan kenyataan terbuka Salah, namun kelab bersedia mendengar tawaran untuk pemain tersebut menjelang jendela perpindahan Januari, dengan ketidakpastian mengenai penyertaan beliau dalam perlawanan terakhir sebelum menyertai Piala Negara-Negara Afrika.
"Saya rasa sangat jelas bahawa ada seseorang yang mahu meletakkan semua kesalahan ke atas bahu saya.
"Saya sudah katakan banyak kali sebelum ini bahawa saya mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus, dan tiba-tiba kini kami tiada sebarang hubungan.
"Saya tidak tahu mengapa, tetapi pada pandangan saya, ada pihak yang tidak mahukan saya di kelab ini. Rasanya seperti kelab telah menganiaya saya. Itu apa yang saya rasa," luah Salah dalam nada kecewa.
Susulan situasi tegang tersebut, dua kelab dilaporkan sedang meneliti implikasi kewangan untuk membawa keluar Salah dari Anfield seawal jendela perpindahan Januari ini.
Menurut laporan The Sun, gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal bersedia melancarkan tawaran bulan depan dan yakin mampu mendapatkan Salah dengan harga diskaun berbanding nilai bidaan £150 juta yang pernah ditolak Liverpool dua tahun lalu.
Al-Hilal yang kini dikendalikan oleh Simone Inzaghi, sebelum ini telah menandatangani bekas rakan sepasukan Salah, Darwin Nunez dengan nilai £46 juta pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, kelab Arab Saudi itu dijangka berdepan saingan daripada kelab Major League Soccer (MLS), San Diego FC. Laporan GiveMeSport mendakwa kelab dari Amerika Syarikat itu sedang mempertimbangkan tawaran rasmi selepas mendengar keluhan Salah.
Liverpool dilaporkan terkejut dengan kenyataan terbuka Salah, namun sumber BBC Sport mendakwa pengurusan kelab kini bersikap 'terbuka' mengenai masa depan pemain itu menjelang Januari, memberi bayangan bahawa mereka sedia mendengar tawaran.
Salah, yang telah menjaringkan 250 gol dalam 420 penampilan dan baru sahaja menyambung kontrak dua tahun pada April lalu, turut mengakui tidak pasti sama ada beliau sudah beraksi dalam perlawanan terakhirnya buat Liverpool memandangkan beliau akan menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bermula 15 Disember ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


