NAMA Jurgen Klopp, bekas pengurus Liverpool, terus menjadi perbualan hangat selepas sering dikaitkan dengan jawatan pengurus di kelab besar Sepanyol, Real Madrid, dan pasukan kebangsaan Brazil.

Setelah mengumumkan keputusan untuk meninggalkan Anfield pada tahun 2024 disebabkan keletihan dan keperluan untuk berehat, Klopp kini berkhidmat sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull sejak Januari 2025.

Namun, spekulasi terkini menunjukkan bahawa Klopp sedang mempertimbangkan untuk kembali ke dunia kejurulatihan.

Dikatakan bahawa hanya dua peranan yang kini menarik minatnya – pengurusan Real Madrid dan Brazil.

Spekulasi ini semakin hangat berikutan ketidakpastian masa depan Carlo Ancelotti bersama Real Madrid, terutamanya selepas kekalahan besar 3-0 kepada Arsenal dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Sekiranya Ancelotti meninggalkan Santiago Bernabéu, Klopp bersama bekas pemain Liverpool, Xabi Alonso, yang kini melatih Bayer Leverkusen, dilaporkan menjadi antara calon utama pengganti.

Namun, ejen Klopp tampil memberi penjelasan yang jelas tentang pendirian anak guamnya. Menurut kenyataan ejen tersebut, Klopp tetap berpegang pada komitmen yang telah dinyatakan sebelum ini – beliau tidak akan mengambil alih kelab Inggeris selain Liverpool.

Klopp turut menekankan betapa mendalamnya hubungan emosinya dengan Liverpool, menjadikan kemungkinan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris hampir mustahil.

Tambah menarik, kontrak Klopp dengan Red Bull dikatakan mempunyai klausa yang membenarkan beliau meninggalkan jawatan tersebut sekiranya ditawarkan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Jerman.

Namun, masih belum jelas sama ada klausa tersebut juga terpakai sekiranya beliau menerima tawaran dari Brazil atau Real Madrid.

Setakat ini, belum ada keputusan rasmi mengenai masa depan Klopp, dan spekulasi tentang kelanjutan kerjaya pengurus berpengalaman ini terus mengundang perhatian para peminat dan pemerhati bola sepak di seluruh dunia.