CELINE Chuang, nama yang mula meniti di bibir peminat bola sepak apabila menjadi pemain remaja wanita pertama Malaysia yang beraksi dengan sebuah kelab bola sepak gergasi di Jerman.

Beliau yang kini bersama kelab lelaki bawah 15 tahun FC Wacker Munchen e.V turut diberi peluang beraksi dengan pasukan kedua B-17 remaja wanita FC Bayern Munich.

Baru sahaja berusia 15 tahun, kelicikan pemain sayap skuad bawah 15 tahun remaja wanita kebangsaan itu pastinya memukau peminat bola sepak.

Celine mula berjinak-jinak dengan sukan tersebut empat tahun lalu selepas menyaksikan adik-beradiknya bermain bola sepak.

“Ibu saya minat dengan sukan dan beliau ingin saya melakukan sesuatu dengan masa terluang. Adik-beradik saya pernah bermain bola sepak juga dan ibu saya menjumpai kelab Bintang Biru.



“Beliau membawa saya untuk berlatih di situ setiap hujung minggu. Saya mula meminati sukan itu,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama-sama Astro AWANI pada Sabtu.

Biarpun lewat berkecimpung dalam sukan berkenaan, namun remaja itu tidak berhenti mengasah bakatnya.

“Saya selalu hendak bermain bola sepak dan saya berpindah ke Thailand untuk mengasah kemahiran dan kecergasan sebab saya mahu jadi pemain professional.



“Itu memang satu cabaran sebab saya kurang kemahiran dan teknik ketika itu kerana bermula lewat.

“Di Thailand, saya terpaksa berlatih tujuh hari supaya tidak ketinggalan. Sekarang, kemahiran saya masih belum sempurna tetapi ia lebih baik, berbanding empat tahun lalu,” katanya.



Berkongsi pengalaman empat bulan di Jerman, Celine mendedahkan bahawa intensiti latihannya jauh berbeza dengan Malaysia.

BACA: Celine Chuang, pemain remaja wanita negara cipta nama dengan Bayern Munich 

Katanya, beliau masih dalam fasa menyesuaikan diri berlatih dalam cuaca sejuk dan langit yang bertukar malam dengan lebih cepat.

“Ia memang sukar tetapi saya mula menyesuaikan diri, saya akan pergi ke padang kecil dengan abang saya dan kami akan berlatih melakukan hantaran dan jaringan.



“Pada waktu malam, jika saya mempunyai masa dan tiada peperiksaan dan kerja rumah, saya akan pergi berlari kerana kita tidak memerlukan cahaya untuk berlari,” jelasnya.

Biarpun latihan di Jerman amat kompetitif, Celine berkata ia suatu pengalaman yang seronok kerana dapat berkawan dengan lebih ramai orang, khususnya pemain-pemain di kelab tersebut.

“Ia sangat berdaya saing kerana ramai perempuan yang bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

“Jadi, persaingannya sangat tinggi tetapi semua gadis sangat baik dan kami selalu suka berbual-bual dan bergurau.

“Latihan juga sangat kompetitif dan pada tahap yang sangat tinggi,” ujarnya.



Ditanya pula mengenai perancangan masa depannya, beliau mempunyai impian untuk bermain di Bundesliga dan tentunya Piala Dunia.

“Saya tidak mempunyai perancangan untuk kembali ke Malaysia kerana saya datang ke sini untuk melanjutkan pelajaran di Jerman.

“Mungkin pada masa depan, saya akan kembali. Tetapi, ia sukar untuk ditentukan ketika ini. Saya tidak pernah ke sini dan belum berkesempatan mendapat semua pengalaman yang ada.

“Saya berharap dapat bermain bersama pasukan pertama Bayern Munich di Bundesliga dan Piala Dunia menentang pasukan bola sepak yang hebat,” ujarnya.

Remaja yang turut meminati pemain bola sepak wanita tersohor Amerika Syarikat, Alex Morgan dan Marta dari Brazil berharap agar lebih banyak perlawanan bola sepak untuk wanita diwujudkan di Malaysia.


“Satu perkara yang saya sangat harapkan untuk Malaysia ialah supaya kami mempunyai lebih ramai pemain wanita dan wujudnya lebih liga dan permainan supaya mereka dapat memperoleh pengalaman yang mencukupi dan pada tahap yang lebih tinggi.

“Nasihat saya kepada pemain wanita negara adalah untuk tidak berputus asa dan tetap komited dengan apa yang anda lakukan.

"Jangan hiraukan kata-kata orang lain yang mengatakan bahawa anda tidak pandai bermain bola sepak.

“Buat apa yang anda mahu buat dan jangan lakukan sesuatu hanya kerana orang lain mahukan anda lakukannya,” kata Celine.

Nama Celine kini mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.

Celine sebelum ini telah mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.