PENYERANG muda Brazil, Endrick belum boleh disamakan dengan mendiang Pele, menurut Ketua Jurulatih Brazil, Dorival Junior.

Endrick mencipta sejarah tersendiri apabila meledak gol kemenangan Brazil ketika menumpaskan England dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley pada Sabtu.

Pemain berusia 17 tahun itu membalas kepercayaan Dorival dengan gol sulung peribadi bersama skuad senior hanya sembilan minit berada di atas padang selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-71.

Sebagai rekod, Pele menjaringkan gol pertamanya bersama skuad senior semasa kekalahan 1-2 kepada Argentina pada usia 16 tahun sembilan bulan di Stadium Maracana pada 7 Julai 1957.

“Jika dia mengekalkan sikap yang ditunjukkannya, tidak mustahil dia akan menjadi nama yang sangat penting dalam bola sepak Brazil dan bola sepak dunia.

“Tapi untuk meletakkan namanya sebaris Pele, saya fikir ia terlalu awal,” ujar Dorival.

Endrick yang membuat penampilan ketiganya bersama skuad senior Brazil di Wembley sudah menjulang kejuaraan Serie A Brazil bersama Palmeiras sejak membuat penampilan sulung bersama kelab tersebut pada usia 16 tahun.

Endrick yang bakal menyertai Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai ini tampil kali pertama bersama skuad senior Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia dan Argentina November tahun lalu, sekali gus muncul pemain termuda menyarung jersi Selecao sejak Ronaldo pada 1994. - Sinar Harian