EPL: Dua gol Haaland pastikan City terus kejar Arsenal di puncak

Haaland (tengah) meraikan bersama rakan sepasukan Rayan Cherki dan Phil Foden selepas menjaringkan gol pertama pada perlawanan EPL antara Manchester City dan AFC Bournemouth di Etihad Stadium, Manchester, Britain, 2 Nov 2025. REUTERS
PENYERANG sensasi Norway terus garang di Etihad, dua jaringannya bantu Manchester City menewaskan Bournemouth 3-1 dan memadamkan rekod tanpa kalah pasukan pelawat awal pagi tadi.
Erling Haaland sekali lagi menjadi wira buat Manchester City apabila dua golnya di separuh masa pertama menggerakkan kemenangan 3-1 ke atas AFC Bournemouth, sekali gus melonjakkan juara bertahan itu ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris, di belakang Arsenal.
Kemenangan di Etihad itu juga menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kalah Bournemouth, yang sebelum ini mencipta kejutan dengan mengasak kelompok atasan liga.
Aksi Cemerlang Haaland dan Cherki
City bermula pantas dan hampir di depan seawal minit pertama menerusi jaringan Junior Kroupi yang dibatalkan kerana ofsaid. Namun skuad kendalian Pep Guardiola tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Rayan Cherki dalam penampilan sulung liga sejak Ogos melorongkan bola cerdas dengan tandukan halus untuk Haaland menewaskan penjaga gol Djordje Petrovic pada minit ke-17.
Bournemouth sempat menyamakan kedudukan menerusi Tyler Adams selepas Gianluigi Donnarumma tersilap menumbuk bola dari sepakan penjuru, tetapi kealpaan pertahanan mereka kembali dihukum tidak lama kemudian. Cherki sekali lagi menjadi arkitek dengan hantaran menembusi garisan terakhir, membolehkan Haaland menewaskan perangkap ofsaid sebelum menolak masuk gol keduanya.
City hampir menambah jaringan sebelum rehat melalui Nico O’Reilly dan Haaland, namun peluang itu dinafikan pertahanan dan penjaga gol pelawat.
O’Reilly Lengkapkan Kemenangan
Babak kedua menyaksikan Bournemouth cuba bangkit, namun penyudah mereka tumpul. Kroupi sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan sebelum O’Reilly memastikan tiga mata kekal di Etihad apabila menyudahkan hantaran Phil Foden ke penjuru bawah kanan pada minit ke-60.
Selepas itu, City kelihatan selesa mengawal permainan, malah menerima khabar gembira apabila Rodri kembali beraksi dari kecederaan hamstring sebagai pemain gantian.
Rekod Luar Biasa Haaland
Kemenangan ini turut menegaskan kehebatan Haaland di laman sendiri, dua golnya menjadikan penyerang Norway itu kini menjaringkan empat brace berturut-turut dalam aksi liga di Etihad. Beliau kini mengumpul 13 daripada 20 gol liga City musim ini, hanya dua jaringan lagi untuk mencecah angka 100 dalam Liga Perdana selepas 107 penampilan sahaja.
Dengan Cherki menunjukkan taring sebenar dan Foden yang meraikan penampilan ke-200 dalam liga pada usia 25 tahun memainkan peranan penting di tengah, Guardiola kini boleh bernafas lega menjelang dua pertemuan besar minggu depan menentang Borussia Dortmund dan Liverpool.
Bournemouth Tumpul di Belakang
Bagi Bournemouth pula, persembahan berani mereka tidak cukup menampung kelemahan di benteng. Andoni Iraola pastinya kecewa melihat barisan pertahanannya gagal membaca pergerakan Haaland bagi dua gol pertama, sementara usaha mereka memburu kebangkitan tersekat selepas O’Reilly menambah jaringan ketiga City.
Rekod tanpa kalah mereka akhirnya lebur, dan tumpuan kini beralih kepada pertemuan sukar di gelanggang Aston Villa minggu depan, dalam misi menebus maruah serta mengekalkan impian bola sepak Eropah.
Fakta Perlawanan
- Haaland menjadi pemain ketiga dalam sejarah Liga Perdana menjaringkan sekurang-kurangnya 13 gol dalam 10 perlawanan pertama musim, selepas Les Ferdinand (1995/96) dan dirinya sendiri (2022/23).
- Bournemouth hanya menang dua daripada 11 aksi liga di tempat lawan (5 seri, 4 kalah), dengan lapan daripadanya menyaksikan mereka bolos dua gol atau lebih.
- Phil Foden muncul pemain termuda (25 tahun, 158 hari) yang mencapai 200 penampilan Liga Perdana bersama Manchester City, mengatasi rekod Raheem Sterling (26 tahun, 284 hari).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


