ARSENAL 1 BRENTFORD 1

Mikel Arteta mendedahkan Arsenal telah membuat aduan mengenai gol penyamaan Ivan Toney yang mereka rasa sepatutnya dibatalkan ketika seri 1-1 dengan Brentford, awal pagi tadi.

Arsenal terlepas peluang untuk mendahului Manchester City dengan lapan mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka diikat oleh The Bees dalam pertemuan 'derby London' di Stadium Emirates.

Pemain yang dipancing pada bulan lalu, Leandro Trossard, yang masuk sebagai pemain gantian membuka akaun jaringannya bersama kelab itu dalam separuh masa kedua, tetapi Toney menafikan kelebihan itu menerusi tandukan selepas 74 minit permainan.

Selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), gol Toney itu akhirnya diiktiraf biarpun Ethan Pinnock kelihatan berdiri di kedudukan ofsaid ketika sepakan percuma berkenaan dibuat.

Toney kemudian menyudahkan peluang terhidang dari jarak dekat itu tetapi pengurus Arsenal, Arteta, tidak percaya jaringan ke-15 penyerang The Bees tersebut sepatutnya diberikan.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu berkata: "Saya baru melihat ulang tayangnya dan ia adalah ofsaid.
"Kami mungkin akan menerima penjelasan pada minggu ini tetapi tidak pada hari ini. Ia sudah pun terlambat - tidak mengapalah, ia adalah gol. Ia tidak relevan."

Ditanya sama ada mereka telah menyatakan perasaan mereka dengan jelas kepada pengelola, Premier League, dia menjawab: "Ya, kami melakukannya di penghujung permainan dan kami sudah pun menyatakan pandangan kami." - Stadium Astro