SPORTS
EPL: Wolves terkam Manchester United di Old Trafford

Pemain Wolves Pablo Sarabia dan Matt Doherty meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan EPL antara Manchester United dan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford, Manchester, Britain, 20 Apr 2025. REUTERS
MANCHESTER United meneruskan prestasi hambar baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas 0-1 kepada Wolverhampton Wanderers dalam perlawanan di Stadium Old Trafford pada Ahad.
Kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa ternyata gagal membarakan motivasi anak buah Ruben Amorim apabila tidak mampu bangkit hasil jaringan pemain gantian Wolverhampton, Pablo Sarabia.
Sarabia yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan percuma berjaya menterjemahkan sepakan melengkung memukau minit ke-77, memastikan kemenangan kelima berturut-turut buat Wolves dalam saingan liga utama buat kali pertama sejak 1970.
Tiga mata yang dibawa keluar dari Old Trafford juga menamatkan kebimbangan Wolverhampton untuk tersingkir dari liga utama England berkenaan.Persembahan United pada malam ini bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan aksi mendebarkan ketika menentang Lyon dalam aksi suku akhir Liga Europa di Stadium Old Trafford pada pertengahan minggu lalu.
Kekalahan tipis kepada Wolverhampton menyaksikan kekalahan ke-15 musim ini, lebih buruk berbanding musim lalu dan yang terburuk sejak musim 1989-90, di mana Manchester United tewas sebanyak 16 kali.
"Wolves menjaringkan gol dalam satu-satunya peluang yang mereka miliki, kami mempunyai banyak peluang tetapi kami tidak menjaringkan gol.
"Jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak akan memenangi perlawanan," kata Amorim.
Pasukan Amorim kini boleh menambah Wolves ke dalam senarai pasukan seperti Crystal Palace, Brighton, Bournemouth, Newcastle, dan Nottingham Forest yang berjaya mencuri tiga mata di Old Trafford sejak pengendali dari Portugal itu mengambil alih tampuk kepimpinan dari Erik ten Hag pada November.
Rekod United pada ketika ini amat menyedihkan apabila hanya mengutip sembilan mata daripada 10 perlawanan terakhir liga.
Satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan dalam tempoh tersebut adalah Leicester dan Ipswich, yang kedua-duanya kini terperangkap di zon penyingkiran.
Walaupun ketibaan Amorim belum memberikan impak positif kepada keputusan United menggantikan Erik ten Hag, Vitor Pereira pula melakukan transformasi luar biasa terhadap Wolves.
Daripada bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim, kini mereka selamat dengan baki lima perlawanan dan hanya dibezakan oleh perbezaan gol di belakang lawan mereka pada hari ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami