JUARA bertahan, Sepanyol menjadi pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati dari kumpulan D, terima kasih kepada Alvaro Morata.

Sepanyol mengalahkan Turki 3-0 dengan Morata menjaringkan dua gol dalam setiap babak bermula dengan menanduk masuk hantaran Nolito pada minit ke-34.

Tiga minit kemudian, Nolito menggandakan jaringan sebelum Morata kemudian melengkapkan kemenangan Sepanyol pada minit ke-48.

Sepanyol kini mengumpul enam mata untuk menguasai kumpulan D selepas menewaskan Republik Czech 1-0 dalam perlawanan pertama.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan D, Republik Czech bangkit untuk seri dua sama dengan Croatia.

Ivan Perisic dan Ivan Rakitic memberikan Croatia pendahuluan sebelum jaringan Milan Skoda dan Tomas Necid memastikan Republik Czech mengutip satu mata.

Perlawanan turut dicemari dengan balingan suar ke dalam padang dan pergaduhan antara penyokong di dalam stadium pada minit ke-86.

Pengadil terpaksa menghentikan permainan selama beberapa minit yang turut menyaksikan pemain Croatia cuba menenangkan penyokong dari tepi padang.