SPORTS
Evanilson bikin Arsenal gigit jari di Stadium Emirates

Evanilson kelihatan gembira selepas menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan EPL antara Arsenal dan AFC Bournemouth di Stadium Emirates, London, Britain, 3 Mei 2025. REUTERS
HARAPAN Arsenal untuk membina momentum menjelang pertembungan krusial dengan Paris Saint-Germain (PSG) di Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini menerima tamparan hebat apabila Bournemouth bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 di Emirates Stadium, sekali gus menghidupkan impian The Cherries untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.
The Gunners akan bertandang ke Parc des Princes, Perancis pada Khamis ini dengan misi membalikkan defisit 1-0 pada perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara dan melangkah ke final kejuaraan kelab elit Eropah itu.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, memilih untuk tidak merehatkan pemain-pemain utamanya dalam perlawanan ini.
Namun, meskipun menurunkan skuad yang kuat menentang Cherries pimpinan Andoni Iraola, mereka dikejutkan kebangkitan dramatik pasukan pelawat pada separuh kedua.Declan Rice menandakan penampilan ke-100nya bersama The Gunners dengan gol pembukaan pada minit ke-34, memperdaya penjaga gol Bournemouth, Kepa Arrizabalaga, sebelum melepaskan rembatan ke gawang.
Namun, pelawat sentiasa memberikan ancaman dan, selepas mensia-siakan beberapa peluang baik pada babak pertama, mereka mengubah hala tujuh perlawanan selepas rehat.
Semua bermula apabila Dean Huijsen menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi tandukan hasil lontaran jauh Antoine Semenyo.
Lapan minit kemudian, Bournemouth mengejutkan tuan rumah apabila Evanilson menanduk masuk bola dari sepakan penjuru, sekaligus mengesahkan kemenangan pertama mereka di Stadium Emirates.
Biarpun tewas, Arsenal kekal di tangga kedua liga, namun Manchester City di tangga ketiga kini hanya berjarak tiga mata.
"Kami mendapatkan gol dan merasakan mengawal hampir segalanya.
"Tetapi mereka menjaringkan gol dan kami kehilangan kawalan permainan babak kedua yang tidak boleh diterima," luah kapten Arsenal, Martin Odegaard
Dengan Liverpool telah dinobatkan sebagai juara liga pada hujung minggu lalu, Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya peluang Arsenal untuk meraih trofi musim ini.
Namun, Arteta tetap menurunkan hampir keseluruhan skuad utama dalam perlawanan ini.
Sebagai rekod, PSG, yang telah mengesahkan gelaran Ligue 1, melakukan 10 pertukaran pemain ketika tunduk 1-2 di Strasbourg pada Sabtu.
Namun, Arteta menjelaskan beliau tidak mampu melakukan perkara yang sama berkata: "Mereka telah memanfaatkan kelebihan untuk melakukan itu...
"Kami belum lagi kerana masih banyak yang perlu dilakukan di Liga Perdana Inggeris, tetapi kami mempunyai empat hari dan saya yakin kami akan pulih sepenuhnya."
Sementara itu, kemenangan tersebut menghidupkan kembali harapan Bournemouth untuk menyambar tiket ke pentas Eropah musim depan, apabila melonjak ke tangga kelapan liga.
Bournemouth telah berada dalam persaingan untuk merebut tempat di Eropah sepanjang musim ini, namun hanya meraih satu kemenangan dalam sembilan perlawanan sebelum bertandang ke Emirates Stadium menimbulkan keraguan terhadap kemampuan mereka.
Tiga mata diraih di London memberikan suntikan keyakinan amat diperlukan, Iraola yang menggunakan pemain gantian dengan efektif, di mana kemasukan bintang Ghana, Semenyo ternyata mengubah momentum perlawanan memihak kepada pelawat.
Bournemouth kini berdepan jadual sukar menentang Aston Villa dan Manchester City, namun dengan kemenangan pertama di Arsenal, mereka akan memiliki keyakinan untuk meraih keputusan positif diperlukan untuk menamatkan musim di dalam kelompok lapan teratas. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami