KANGAR:Pemenang Anugerah Puskas 2016 Mohd Faiz Subri tidak menolak kemungkinan akan berkelana ke luar negara bagi menggalas jawatan sebagai jurulatih teknikal pasukan Teqball Hungary tahun depan.

Kapten pasukan Northern Lions Football Club (NLFC) itu berkata perkara itu masih di peringkat rundingan dan beliau belum membuat keputusan buat masa ini.

"Tentang tawaran itu, jika ada rezeki kena fikirkan dulu, pergi atau tidak itu belakang kira," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis pelancaran logo baharu pasukan NLFC hari ini.

"Ya...," jawab Mohd Faiz ringkas, apabila diajukan soalan sama ada beliau akan membuat keputusan sebelum menandatangani kontrak dengan NLFC untuk saingan Liga M3 musim 2021.

Sementara itu, Presiden NLFC Amran Hamid ketika dihubungi Bernama berkata beliau yakin pemain berasal dari Pulau Pinang itu akan terus bersama pasukannya untuk menghadapi saingan musim hadapan.

"Saya yakin bahawa beliau (Mohd Faiz) akan terus bersama kita kerana beliau mempunyai alasan tersendiri," katanya.

Dalam pada itu, Amran tidak meletakkan sasaran yang tinggi dalam saingan Liga M3 musim depan, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada usaha pembangunan peringkat akar umbi.

"Kalau boleh kita ingin lahirkan lebih ramai bakat pemain bola sepak tempatan," katanya.

NLFC menamatkan saingan musim ini pada kedudukan kelapan daripada 10 pasukan.

-- BERNAMA