ROBERTO Firmino menjelaskan dirinya tidak berdepan sebarang masalah untuk diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang Gabriel Jesus untuk mengetuai barisan serangan Brazil di Piala Dunia 2018.

Penyerang Liverpool itu masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol kedua pasukannya sewaktu menundukkan Croatia 2-0 di Anfield, semalam.

Jesus yang memegang lilitan ketua pasukan dalam aksi itu mengharungi perlawanan yang suram tetapi penggempur Manchester City itu dijangka mengekalkan tempatnya apabila Brazil menghadapi aksi pertama Piala Dunia 2018 bertemu Switzerland pada 17 Jun.

Namun, Firmino dengan tenang berkata dia tidak berdepan masalah dengan keputusan yang dilakukan pengurus pasukan, Tite.

"Saya di sini untuk membantu Selecao," katanya.

"Siapa sahaja yang dipilih Tite, saya 100 peratus menghormatinya dan sentiasa bersedia apabila diperlukan, memberikan sepenuh kudrat buat pasukan."

Dalam masa sama, rakan sepasukan Firmino, Danilo, yang beraksi di bek kanan sewaktu bertemu Croatia dan dijangka mengekalkan tempat di Piala Dunia selepas ketiadaan Dani Alves, yakin pasukannya berada di landasan terbaik walaupun tampak bergelut dalam aksi di Anfield.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya.

"Sangat penting untuk kekal tidak dibolosi dan barisan bawah menjadi selamat, sambil memiliki jentera serangan yang mampu memberikan perbezaan keputusan. Kami di landasan terbaik," ujar Danilo.