SUKAN
Galatasaray tandatangani Ilkay Gundogan secara percuma dari Manchester City

Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak bersama Turkiye sehingga penghujung musim 2026–2027. - Gambar Galatasaray
GALATASARAY mengumumkan ketibaan pemain tengah berpengalaman Jerman, Ilkay Gundogan, dari Manchester City secara perpindahan percuma.
Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak bersama juara Turkiye sehingga penghujung musim 2026–2027.
Walaupun masih berbaki setahun dalam kontraknya di Etihad, Gundogan dibenarkan meninggalkan City kerana jendela perpindahan di Turkiye masih dibuka sehingga 12 September.
“Manchester City akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya,” kata Gundogan.“Kami telah menikmati begitu banyak kejayaan bersama dan mencipta memori yang tidak akan dilupakan, terutama sekali ketika saya menjadi kapten untuk musim treble."
Gundogan merupakan pemain pertama yang dibawa masuk Pep Guardiola pada tahun 2016 daripada Borussia Dortmund.
Sepanjang tujuh tahun bersama City (termasuk kepulangan semula pada 2024), beliau tampil dalam 358 perlawanan dan menjaringkan 65 gol.
Antara kejayaan besarnya termasuk lima kejuaraan Premier League, dua Piala FA dan Liga Juara-Juara 2022–23, di mana beliau mengetuai pasukan ketika mencipta sejarah treble.
Selepas meninggalkan City untuk menyertai Barcelona pada 2023, Gundogan kembali ke Manchester setahun kemudian dan beraksi dalam 33 perlawanan Premier League musim lalu.
Dilahirkan di Gelsenkirchen, Jerman, daripada keluarga berketurunan Turkiye, Gundogan sering menyatakan hubungannya yang erat dengan tanah asal keluarganya itu.
Kini, perpindahannya ke gergasi Istanbul, Galatasaray, seolah-olah menandakan “kepulangan” simbolik ke akar budaya beliau.
Ketibaan Gundogan dijangka memperkukuhkan lagi bahagian tengah Galatasaray.
Perpindahan ini dianggap sebagai satu kejayaan besar buat Galatasaray, bukan sahaja dari segi kualiti permainan, malah nilai sentimental kerana Gundogan sendiri membesar dengan sokongan terhadap kelab tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami