KUALA LUMPUR: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara bakal menerima habuan sewajarnya susulan kejayaan mara ke pentas final edisi sulung kejohanan Piala Dunia Hoki 5s 2024 berlangsung di Muscat, Oman.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya sudah mempertimbangkan perkara itu biarpun menyedari badan induk sukan hoki negara berdepan kewangan yang terhad.

"Saya akan pastikan apabila mereka pulang mesti dapat bayaran. Saya simpati kepada mereka ini kerana saya sendiri (MHC) kewangan terhad... kita banyak gunakan untuk skuad kebangsaan.

"Elaun latihan buat mereka pun sedih nak diperkatakan. Kadang-kadang minta kasut baharu pun kita tak mampu nak belikan tapi mereka tidak pernah meminta," katanya dalam sidang media di MHC, Bukit Jalil di sini hari ini.

Subahan berkata jurulatih skuad 5s lelaki negara Wallace Tan sendiri menolak keperluan untuk dibayar gaji demi membimbing anak buahnya mempamerkan keputusan memberangsangkan di bumi Oman itu.

"Dia buat kerana nak bantu kami (MHC) tapi macam elaun makan kami berilah," katanya.

Awal pagi tadi, skuad 5s lelaki negara mara ke pentas final edisi sulung kejohanan itu selepas menewaskan Poland 4-3 di separuh akhir, untuk berdepan Belanda di final malam ini.

Susulan keputusan memberangsangkan skuad 5s lelaki dan wanita di kejohanan berkenaan, Subahan berkata pihaknya akan cuba meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewujudkan program sepenuh masa membabitkan skuad itu serta skuad hoki dalam dewan negara.

Program tersebut bertujuan untuk mempersiapkan skuad hoki 5s dan skuad hoki dalam dewan negara bagi mengharungi pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

-- BERNAMA