KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, berjanji akan menyelesaikan beberapa isu dikongsikan oleh penerjun yang berada dalam Program 'Road to Gold' (RTG) dalam masa terdekat.

Beliau dan timbalannya Datuk Nicol David, yang mengadakan perbincangan secara tertutup bersama Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, ketika lawatan ke sesi latihan skuad terjun, di Pusat Akuatik Nasional, di sini, yakin perkara itu dapat diselesaikan.

"Ada beberapa perkara, insya-Allah kita dapat selesaikan, kalau tak dapat saya akan jumpa Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) untuk selesaikan. Kebanyakannya isu semasa yang perlu dikemaskan, sebagai CDM boleh selesaikan dengan cepat, mungkin selepas Raya.

"Ia tidak perlu tunggu sehingga mesyuarat Jawatankuasa RTG yang seterusnya, walaupun libatkan banyak pihak," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Namun, Hamidin enggan mendedahkan isu atau permintaan yang diutarakan oleh dua penerjun berkenaan.

Dengan kebanyakan atlet dalam RTG sebelum ini dilaporkan mahu sokongan sains sukan, Hamidin berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan semua atlet dalam program itu mendapat sokongan yang secukupnya untuk mencipta kejayaan di Paris tahun depan.

"Bukan hanya terjun, tetapi badminton dan sukan lain pun (perlukan sokongan sains sukan). Kalau ISN (Institut Sukan Negara) punya (staf) tak cukup kita ambil kepakaran dari luar.

"Ini, sebab kita memburu pingat emas, perak dan gangsa di peringkat dunia. Jadi kita tak nak hanya laungkan nak menang emas, tapi tidak melihat perkara itu dengan lebih dekat," katanya.

Beliau berkata skuad terjun negara akan menjalani kem latihan lebih kurang sebulan di China, sebelum menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, bermula 14-30 Julai, yang juga merupakan salah satu kejohanan kelayakan ke Olimpik Paris.

Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen, berkata pihaknya meletakkan harapan ke atas Wendy Ng Yan Yee untuk melayakkan diri dalam acara 3m papan anjal wanita, selain Pandelela dan Nur Dhabitah.

"Tetepi barisan penerjun lelaki agak sukar untuk layak kerana belum sampai standard di peringkat tringgi," katanya.

Bagi sukan renang pula, beliau berharap empat perenang - Bryan Leong, Steve Khiew Hoe Yean, Andrew Goh Zheng Yen dan Phee Jinq En - yang telah melayakan diri ke Kejohanan Dunia menerusi Kategori B turut dapat melayakkan diri ke Paris.

-- BERNAMA