SUBANG JAYA: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin mahu mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee Zii Jia bagi membincangkan keputusan perseorangan lelaki negara itu untuk tidak menyertai program Road To Gold (RTG).

"Jadi selepas dia menolak (RTG) saya tidak berkesempatan berjumpa dia (Zii Jia), saya tidak mahu pujuk (masuk RTG), saya hanya mahu jumpa dia untuk bercakap dengan dia kalau boleh saya 'simbah' dia saya 'simbah' dengan teguran.

"Itu keputusan dia, jadi semua pihak boleh menilai. Kita mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM mengharapkan dia boleh 'perform' dalam Olimpik kalau dia layak," kata timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu pada sidang media Majlis Deepavali MOM di sini hari ini.

Selasa lepas, Jawatankuasa RTG dalam kenyataan memaklumkan keputusan perseorangan ke-11 dunia itu untuk tidak terlibat dalam program tersebut selepas berdiam diri hingga hari terakhir bagi memberi maklum balas kepada RTG.

Setakat ini, empat atlet Malaysia telah melayakkan diri untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu iaitu atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak) dan Ariana Nur Dania Zairi (memanah recurve).

-- BERNAMA