SPORTS
Hamilton kecewa, Ferrari catat prestasi terburuk dalam kelayakan di Imola

Hamilton mengakui bahawa dia "sangat kecewa dan hampa", terutama kerana ini adalah perlumbaan pertamanya di Itali bersama Ferrari. - Foto AP
IMOLA: Lewis Hamilton meluahkan kekecewaannya selepas Ferrari mengalami prestasi kelayakan terburuk musim ini di Grand Prix Emilia-Romagna, dengan kedua-dua pemandu gagal menembusi kelompok 10 terbaik.
Hamilton, yang kini berlumba untuk Ferrari selepas berpindah dari Mercedes, hanya mencatat kedudukan ke-12, manakala rakan sepasukannya Charles Leclerc berada di tempat ke-11.
Ini merupakan kali pertama dalam tujuh perlumbaan musim ini Ferrari gagal mendapatkan sekurang-kurangnya satu kereta dalam sesi Q3.
Selepas sesi kelayakan, Hamilton mengakui bahawa dia "sangat kecewa dan hampa", terutama kerana ini adalah perlumbaan pertamanya di Itali bersama Ferrari."Kereta sebenarnya terasa baik, saya rasa tetapan sudah betul, tetapi kami tidak cukup pantas," katanya kepada media.
Hamilton menjelaskan bahawa pasukan telah mencuba tayar lembut pada penghujung sesi, tetapi ia "tidak memberikan cengkaman yang diperlukan", menyebabkan mereka gagal memperbaiki masa pusingan.
Leclerc turut meluahkan rasa kecewa dengan prestasi Ferrari, menyatakan bahawa pasukan "tidak mempunyai prestasi yang mencukupi" untuk bersaing di barisan hadapan.
"Saya boleh berusaha sebaik mungkin, tetapi saya tidak boleh melakukan keajaiban. Ini adalah kemampuan sebenar kereta, dan saya hanya cuba mendapatkan yang terbaik daripadanya," katanya kepada Sky Sports.
Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur, mengakui bahawa keputusan kelayakan ini adalah "sangat mengecewakan" dan menyatakan bahawa pasukan perlu mengambil risiko strategi dalam perlumbaan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
Ferrari kini berada di tempat keempat dalam kedudukan kejuaraan konstruktor, dengan 152 mata di belakang McLaren.
Mereka juga mengalami detik sukar musim ini apabila kedua-dua kereta mereka dibelang daripada Grand Prix China kerana gagal dalam pemeriksaan selepas perlumbaan.
Dengan kedudukan yang jauh dari barisan hadapan, Ferrari menghadapi cabaran besar dalam perlumbaan Grand Prix Emilia-Romagna.
Hamilton dan Leclerc perlu mencari strategi terbaik untuk memperbaiki kedudukan mereka di litar yang terkenal sukar untuk memotong.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami