KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terus mendapat tonik terbaik menjelang kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb ini, apabila menerima suntikan semangat daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah menyifatkan kejayaan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia itu merupakan satu prestasi yang membanggakan rakyat Malaysia.

Beliau turut menitipkan kata-kata semangat dengan memetik bait-bait lagu Fikirkan Boleh dipopularkan kumpulan Amuk yang merupakan antara lagu patriotik bagi menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya di Qatar sekarang, penantian melebihi 40 tahun ini merupakan satu prestasi yang amat membanggakan semua rakyat Malaysia, ingat bila masuk padang nanti jika anda fikirkan anda boleh, anda pasti boleh melakukan terbaik.

"Saya mengucapkan tahniah juga kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan jurulatih Kim Pan Gon atas usaha anda membantu pasukan Harimau Malaya melangkah sejauh ini," katanya menerusi klip video kepada media hari ini.

Sebagai usaha menyemarakkan lagi sokongan kepada skuad kebangsaan, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan tayangan skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk ketiga-tiga perlawanan Malaysia dalam aksi peringkat Kumpulan E.

"Kita akan buka Stadium Nasional kepada semua penyokong Harimau Malaya, pastikan anda datang untuk menyokong pasukan Harimau Malaya," katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Jan (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com

-- BERNAMA