Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak yakin anak buahnya dapat mempertahankan Piala FA apabila menentang pasukan bertaraf bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam esok.

Jurulatih kelahiran Croatia berusia 42 tahun itu berkata walaupun mereka merupakan pasukan pilihan untuk mengekalkan kejuaraan tahun lepas namun beliau tidak mahu anak buahnya mengambil mudah lawan mereka.

"Bagi saya, menentang pasukan terbaik di negara ini seperti Johor DT datang dengan tekanan yang sama seperti bermain pada perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di sini hari ini.

Hodak berkata walaupun Johor DT mempunyai barisan pemain bertaraf bintang namun mereka perlu memerhatikan gerakan pemain tengah Mohd Nurul Azwan Roya yang pernah menyarung jersi Kelantan sebelum ini.

Beliau berkata semua pemain sudah bersedia untuk final kecuali pemain tengah Indra Putra Mahayuddin dan penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Turut senada dengan Hodak ialah kapten pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menuntut rakan sepasukannya memberi persembahan terbaik apabila berdepan dengan pasukan lawan yang digelar 'Harimau Selatan'.

"Bagi saya, memang mudah untuk mengekalkan kejuaraan namun bukan senang untuk mempertahankannya...bagi saya peluang kedua-dua pasukan untuk memenangi perlawanan esok adalah 50-50.

"Tumpuan semestinya harus diberi kepada Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kerana beliau pernah bermain bersama kami," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Johor DT, Fandi Ahmad berharap anak buahnya dapat mengejutkan pasukan gergasi Pantai Timur itu.

"Saya belum memutuskan kesebelasan utama tetapi saya menuntut komitmen penuh daripada setiap pemain bagi memastikan kami menjuarai Piala FA esok," kata legenda bola sepak Singapura berusia 51 tahun itu.