KUALA LUMPUR: Acara hoki 5 sebelah (5s) bakal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA, Bangkok Thailand 2025, kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurut Subahan maklumat berkenaan diterima daripada Presiden Persatuan Hoki Thailand Datuk Seri Chayaipak Siriwat yang memperjuangkan acara sukan baharu tersebut untuk dipertandingkan pada temasya sukan yang berlangsung dua tahun sekali itu.

"Chayaipak yang juga seorang daripada Majlis Olimpik Asia maklumkan perkara itu (hoki 5s akan diserap dalam Sukan SEA akan datang) kepada saya.

"Selepas ini, kami akan tumpukan hoki dalam dewan dan hoki 5s sebab ia berpotensi untuk mendapatkan pingat bagi negara," katanya kepada pemberita semasa Majlis KHM beramah mesra bersama media di Stadium Hoki Nasional Malaysia di sini, pada Rabu.

Subahan berkata dengan penambahan acara sukan hoki itu, akan mencerahkan lagi peluang kontinjen Malaysia menambah pingat emas di Sukan SEA, memandangkan skuad hoki 5s negara menampilkan prestasi cemerlang di Piala Dunia Hoki 5s baru-baru ini.

Malaysia muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 pada 31 Jan selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Dalam pada itu, Subahan berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menyediakan stadium khas bagi acara hoki 5s dan hoki dalam dewan pada masa akan datang.

"Hoki 5s belum ada venue yang sesuai, saya harap kita dapat sediakan venue tertutup untuk hoki dalam dewan dan venue yang sesuai untuk hoki 5s. Boleh anjur kejohanan antarabangsa. Mudah-mudahan dimasukkan dalam belanjawan akan datang," katanya.

-- BERNAMA