KUALA LUMPUR: Dua jaringan penyerang sensasi Faizal Saari menjulang Pasukan Hoki Terengganu (THT) sebagai juara Piala Sumbangsih saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kemenangan dalam aksi pembuka tirai itu menyaksikan THT mengutip tiga mata pertama mereka sekali gus menjadi permulaan positif untuk memburu gelaran liga musim ini.

Faizal menjaringkan gol pertama pasukan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ketujuh sebelum menambah jaringan menerusi pukulan penalti pada minit ke-35, untuk meletakkan THT selesa di hadapan.

Muhammad Arif Syafie Ishak menambah derita TNB apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit kemudian untuk kedudukan 3-0.

Biarpun TNB bangkit pada minit ke-45 menerusi jaringan padang Muhammad Najib Abu Hassan dan Faiz Helmi merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52, namun kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih THT Roslan Jamaluddin teruja dengan semangat tinggi dipamerkan anak buahnya dalam usaha mencipta kejayaan bermakna malam ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana menunjukkan 100 peratus komitmen. Bagi saya piala hari ini amat bermakna dan kami juga dapat tiga mata bagi saingan MHL tahun ini ," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, skuad UiTM HA memulakan kempen dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan 4-2 ke atas TNB Thunderbolts manakala Maybank berpesta gol selepas membelasah Nurinsafi Sporting 8-0.

-- BERNAMA