KUALA LUMPUR: Keazaman politik, sistem yang berkesan serta pembinaan nilai individu perlu bergerak seiring bagi memastikan usaha memperkukuh integriti negara tidak sekadar terhenti pada dasar dan pelan tindakan.
Profesor Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Sivamurugan Pandian berkata individu yang tidak berintegriti boleh merosakkan sistem sedia ada, manakala sistem yang lemah pula berpotensi melahirkan individu yang tidak berintegriti.
"Usaha membina masyarakat berintegriti perlu mengambil kira pengaruh ekosistem dan persekitaran terhadap tingkah laku individu, selain memastikan nilai moral, akauntabiliti serta keberanian mempertahankan prinsip dipupuk sejak kecil.
"Jika ekosistem itu salah, maka individu itu juga mempunyai kecenderungan untuk bergerak ke arah nilai yang songsang," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru, pada Khamis.
Sivamurugan berkata aspek sistem juga perlu diberikan perhatian, termasuk menilai sejauh mana dasar dan pelan tindakan yang diwujudkan berupaya mengurangkan salah laku serta menutup kelemahan yang wujud.
Katanya, pelbagai dasar dan mekanisme yang tersedia tidak akan memberikan hasil sekiranya tidak disokong keazaman kepimpinan dan politik untuk mempertahankan prinsip keadilan, amanah serta tanggungjawab terhadap negara.
"Apa gunanya kita ada segala dasar dan sistem, tetapi tidak ada keazaman politik untuk memastikan kita dapat memelihara keadilan, amanah dan tanggungjawab terhadap negara ini," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali berkata keberkesanan pelan tindakan perlu dinilai berdasarkan strategi, pelaksanaan dan impak yang dihasilkan, bukan sekadar kewujudan dokumen atau program.
Beliau berkata setiap pelan tindakan perlu disokong program dan inisiatif khusus, matlamat yang jelas, pihak pelaksana serta garis masa yang ditetapkan bagi memudahkan pemantauan pelaksanaan.
Menurutnya, pelan tindakan sedia ada juga perlu diperbaharui dan diperkemaskan supaya usaha memperkukuh integriti terus relevan serta menghasilkan perubahan yang boleh diukur.
"Kalau dulu kita katakan pelaksanaannya penting, sekarang ini bukan sahaja pematuhannya, tetapi kita nak tengok impaknya juga," ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata jurang antara kefahaman masyarakat mengenai integriti dengan pelaksanaannya perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata hasil kajian menunjukkan 85 peratus responden awam memahami isu integriti dan tadbir urus korporat, namun hanya 45 peratus berpandangan kakitangan kerajaan melaksanakan nilai berkenaan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan jurang antara kefahaman mengenai integriti dan amalan sebenar, sekali gus membuktikan bahawa kesedaran sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan dan pelaksanaan yang berkesan.
"85 peratus faham. Tapi bila datang kepada pelaksanaan, hanya 45 peratus yang berpandangan bahawa kakitangan kerajaan melaksanakan integriti. Jadi nampak ada ketidakselarasan," katanya.
Ayob Khan turut menekankan kepentingan kepimpinan menjadi teladan dalam mengamalkan integriti kerana sikap dan tindakan pihak atasan boleh mempengaruhi budaya kerja di peringkat bawahan.
"Kalau di atas itu betul (caranya), insya-Allah yang berada di bawah juga akan betul," katanya.