Ringkasan AI
- Menteri Kerja Raya menegaskan industri lebuh raya perlu melihat teguran media sebagai peluang memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
- Lembaga Lebuhraya Malaysia, syarikat konsesi dan agensi berkaitan disaran memperkukuh kerjasama dengan media untuk penyampaian maklumat trafik yang jelas dan tepat.
- Ketua Pengarah Penyiaran menyeru industri lebuh raya melihat media sebagai rakan strategik dan menyokong pembangunan organisasi media untuk pelaporan lebih berkualiti.
PUTRAJAYA: Industri lebuh raya perlu melihat teguran media sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata laporan media bukan sahaja membantu orang ramai merancang perjalanan, menjangka keadaan trafik dan membuat keputusan lebih selamat, malah menjadi saluran untuk mengetengahkan isu serta kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh pihak industri.
"Saya menghargai peranan media membawa suara pengguna termasuk aduan, teguran dan pengalaman yang mungkin tidak selalu menyenangkan untuk didengar.
"Teguran yang berasas tidak wajar dilihat sebagai serangan terhadap industri, tetapi sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan dan meningkatkan keyakinan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2026 di sini Khamis malam.
Sehubungan dengan itu, Nanta berkata peranan media dalam menyampaikan maklumat dan suara pengguna perlu disusuli tindakan oleh pihak industri bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), syarikat konsesi dan agensi berkaitan perlu memperkukuh kerjasama dengan media, khususnya dalam penyampaian maklumat trafik yang jelas, tepat dan mudah difahami.
"Kita tidak seharusnya membiarkan kekosongan maklumat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna," katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi lebuh raya serta keselamatan pengguna.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail berkata pemain industri lebuh raya, khususnya syarikat konsesi, perlu melihat media sebagai rakan strategik dan melabur dalam pembangunan organisasi media bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Beliau berkata industri lebuh raya mempunyai pelbagai kisah yang wajar diketengahkan, termasuk pembangunan infrastruktur, kemajuan teknologi serta dedikasi petugas yang berkhidmat tanpa mengira waktu demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Ashwad berkata organisasi media memerlukan sokongan pemain industri menerusi perkongsian maklumat, pengetahuan dan kepakaran bagi menghasilkan pelaporan lebih berkualiti serta memberikan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan industri.
Pada majlis itu, Nanta menyampaikan Anugerah Media Lebuh Raya Terbaik kepada wartawan Harian Metro, Sinar Harian dan Mingguan Malaysia bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat berhubung isu lebuh raya kepada masyarakat.
-- BERNAMA