BIRMINGHAM: Kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 diingatkan agar tidak mengambil sikap sambal lewa terhadap penularan COVID-19 yang masih berleluasa ketika ini.

Ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, menegaskan barisan atlet serta pegawai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memakai pelitup muka sepanjang temasya itu berlangsung dalam usaha mengelakkan jangkitan virus itu.

"Dari Malaysia lagi kita dah sarankan kepada atlet untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) walau keadaan di England sangat terbuka (kelonggaran SOP) berhubung COVID-19.

"Kita tak nak sekiranya atlet kita positif, ia secara tak langsung akan bawa kerugian kepada kontinjen dalam usaha mencapai sasaran enam emas di sini," katanya ketika ditemui Bernama di Perkampungan Sukan di University of Birmingham, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas dua pegawai kontinjen negara disahkan positif COVID-19 ketika melalui ujian saringan dijalankan pihak penganjur, baru-baru ini.

Katanya, mereka berdua ketika ini dilaporkan tidak mengalami jangkitan serius dan akan bebas selepas menjalani kuarantin kendiri ketika ini.

Dalam pada itu, Shahrul memaklumkan kontinjen negara diwakili seramai 40 atlet dan enam pegawai akan menggayakan baju kebangsaan dalam segmen perbarisan pada majlis pembukaan rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander, Perry Barr, esok.

Beliau pada masa sama berkata atlet negara bersemangat waja dan teruja bagi membawa cabaran negara dalam temasya empat tahun sekali itu.

Kontinjen negara di Birmingham akan diwakili 104 atlet.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 disertai kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara pada edisi kali ini.

-- BERNAMA