Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar memberi amaran kepada atlet negara untuk menjauhi gejala mengatur perlawanan dan kesalahan doping.

Beliau berkata kesalahan mengatur perlawanan dan doping mestilah dibanteras sepenuhnya daripada arena sukan Malaysia, dan menggesa semua pihak berkaitan, atlet, pegawai dan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan untuk berwaspada berhubung isu-isu berkenaan.

"Mengenai mengatur perlawanan, ia menjadi seperti penyakit yang kebanyakannya melibatkan bola sepak Malaysia, namun kini menular kepada sukan lain. Pada 2016 sahaja, terhadap 14 kes positif, termasuk tiga pada Sukan Malaysia (Sukma) dan jumlah itu meningkat pada 2017.

"Pada masa ini, dua pemain badminton menghadapi pertuduhan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana mengatur perlawanan. Sekiranya terbukti, ia satu episod memalukan dan menafikan kesemua kejayaan yang dicapai Malaysia dalam arena sukan antarabangsa, setakat ini.

"Begitu juga kes doping, kita turut berdepan prospek dilabelkan sebagai menipu dan mirip kepada atlet Rusia yang kini menghadapi situasi itu. Sudah tentu, kita tidak mahu perkara ini berlaku. Justeru, mengatur perlawanan dan doping perlu dibanteras sepenuhnya daripada minda sukan Malaysia," katanya dalam ucapan pada majlis Pembiayaan Individu SportExcel, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tunku Imran yang juga Pengerusi SportsExcel berkata yayasan berkenaan akan mengambil insiatif sendiri dengan memupuk kepada atlet remaja supaya menjauhi gejala doping dan mengatur perlawanan.

Pada majlis berkenaan, Tunku Imran menyerahkan pembiayaan berjumlah RM57,000 kepada 43 atlet remaja daripada lapan sukan - kriket, berbasikal, golf, tenis, gimnastik berirama dan artisitik, renang, taekwondo dan tenpin boling.

"Kita berharap penerima geran ini akan berusaha keras bagi mengulangi kejayaan atlet negara pada Rio 2016. Kita juga berharap mereka akan mendapat motivasi untuk berlatih bersungguh-sungguh dan lebih fokus terhadap misi mereka untuk menjadi seperti Datuk Nicol David atau Datuk Lee Chong Wei.

"SportExcel akan terus memainkan peranan dalam hal tersebut. Sepanjang 25 tahun lepas, lebih 50,000 atlet remaja mendapat manfaat daripada sirikit SportExcel," katanya.

-- BERNAMA