SUKAN
JDT 2 rebah diasak Seladang

JDT 2 tewas 1-2 kepada Perak FA (gambar) pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu. - Foto Perak FA
SKUAD Johor Darul Ta'zim 2 (JDT 2) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Perak FA pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada Sabtu.
JDT 2 bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengatur asakan ke gawang pelawat bagi membuka jaringan.
Namun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan skuad Perak FA.
JDT 2 kemudiannya memiliki peluang terbaik untuk meledak jaringan pembukaan, namun rembatan Danish Hakimi Sahaludin pada minit ke-20 tinggi melepasi palang gol.Dua minit berselang, kapten Perak FA, Kamal Arif Azrai Shakimar berjaya menyambar serta menolak masuk setelah penjaga gol JDT 2, Zulkifli Sharani gagal menangkap kemas hasil sepakan percuma.
Bagaimanapun, gol berkenaan dibatalkan pengadil perlawanan, Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana Kamal Arif Azrai telah ofsaid terlebih dahulu.
Bagaimanapun, penyerang Perak FA, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli, berjaya mengejutkan tuan rumah pada minit ke-32 apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat deras untuk gol pembukaan perlawanan.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan JDT 2 mula bangkit mengatur asakan ke gawang Perak FA bagi menjaringkan gol penyamaan.
Hasilnya, pemain import Celso Jose, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-37.
Penghujung babak pertama menyaksikan tiada tambahan jaringan dihasilkan dan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju bilik persalinan.
Babak kedua menyaksikan Perak FA hanya memerlukan seminit bagi menjaringkan gol kedua menerusi jaringan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi yang bijak menyempurnakan hantaran sepasukan hasil sepakan percuma pada minit ke-46.
Gol tersebut dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak FA untuk terus mengasak ke gawang JDT 2 bagi menambah jaringan.
Namun, JDT 2 dilihat berjaya mengimbangi asakan-asakan tersebut sambil mengatur asakan-asakan ke gawang Perak FA.
Minit ke-76 Perak FA sekali lagi berpeluang menambah jaringan apabila Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT 2, namun rembatan leretnya gagal menepati sasaran.
Penghujung babak kedua menyaksikan JDT 2 terus buntu untuk mencari jaringan penyamaan dan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan 2 itu tewas buat kali kedua setelah tewas kepada Seoul Phoenix 0-1, 16 Ogos lalu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami