KUALA LUMPUR: Kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar ketika berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) kata penjaga gola Borussia Dortmund Alexander Meyer, untuk Jelajah Asia 2022 mereka yang bermula 24 Nov.

Pemain berusia 31 tahun itu sedar bahawa kuasa bola sepak Malaysia itu merupakan sebuah pasukan yang hebat selepas memenangi banyak gelaran sejak 10 tahun lepas termasuk Piala Persekutuan Bolasepak Asia 2015 dengan mengalahkan pasukan Tajikistan, Istiklol, 1-0.

"Kami tahu Borussia Dortmund sebuah kelab yang besar dan kami mempunyai ramai peminat di Asia. Dengan itu, saya percaya mereka (JDT) tentunya mahu mengalahkan kami.

"Ia suatu perlawanan yang sukar dan kami perlu bermain dengan sepenuhnya menentang JDT," katanya pada sidang media secara maya semalam.

Juara liga Jerman lapan kali itu akan bertemu JDT pada perlawanan kedua Jelajah Asia 2022 mereka pada 28 Nov di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, selepas perlawanan pembukaan mereka menentang Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar pada 24 Nov.

Borussia Dortmund yang juga dikenali sebagai BVD akan mengakhiri jelajah mereka menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh pada 30 Nov.

Pada Julai 2015, JDT dibelasah 1-6 oleh kelab Bundesliga itu pada jelajah pramusim yang berlangsung di Stadium Larkin.

Sementara itu, Meyer berharap kesemua pemain mereka akan menggunakan perlawanan pada jelajah ini untuk kembali cergas selepas menamatkan percutian musim sejuk mereka dan meneruskan musim 2022/2023 pada 20 Jan tahun hadapan.

Selepas 15 perlawanan, BVB menduduki tempat keenam carta Bundesliga dengan 25 mata dan berada sembilan mata di belakang juara bertahan Bayern Munich FC.

Meyer yang akan melawat Asia buat pertama kalinya berkata beliau teruja untuk belajar kebudayaan baharu termasuk mencuba makanan tempatan di sepanjang jelajah itu.

Dalam pada masa sama, penyerang Belanda Donyell Malen juga teruja untuk kembali bermain di Asia selepas kali pertama melawat Asia dengan kelabnya seblum ini Arsenal FC ke China beberapa tahun lepas.

Jelajah BVB kali ini yang berlangsung pada ketika Piala Dunia Qatar 2022, akan disertai pemain-pemain yang tinggal dari pasukan utama dan beberapa pemain daripada pasukan remajanya.

-- BERNAMA