Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan musim 2019 dengan penuh gemilang apabila menewaskan Kedah 3-0 untuk menjulang Piala Malaysia edisi 2019.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Selatan bermula garang apabila melancarkan serangan ke pintu gol Kedah seawal permainan.

Situasi berbeza bagi Kedah yang pada awalnya dilihat menyusun rentak dengan baik namun seakan-akan hilang tumpuan pada beberapa babak, sekali gus membuka peluang JDT membalas serangan bertali arus ke gawang Kedah.

Pada separuh masa pertama, skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan selepas mendahului Lang Merah 2-0.

Leandro Sebastian Velazquez membuka jaringan buat JDT pada minit ke-27 selepas menyempurnakan umpanan cantik Gonzalo Cabrera.

JDT terus menambah jaringan selepas sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-35 yang terkena palang melepasi garisan gol.

Memasuki separuh masa kedua, JDT menggandakan asakan dan memperolehi gol ketiga pada minit ke-57 menerusi tandukan cantik Syafiq Ahmad.

Kemenangan kali ini menyaksikan sejarah hampir sama berulang, sewaktu kali pertama JDT menjulang Piala Malaysia pada 2017, menewaskan Kedah 2-0.

BACA: Cuti khas peristiwa, sempena kejayaan JDT juarai Piala Malaysia