Malaysia mungkin sedang menghadapi masalah jerebu, namun pasukan hoki negara tidak akan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berlatih di padang.

Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berkata, beliau sedar akan keadaan yang kini semakin buruk setiap hari, namun beliau dan pasukan telahpun mempunyai rancangan lain bagi memastikan persediaan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak terjejas.

"Anda sentiasa perlu memastikan anda mempunyai rancangan kedua. Sebaik sahaja keadaan menjadi sangat tidak sihat dan merbahaya, kita tidak akan berlatih di luar. Kita akan berlatih di dalam dan pada masa ini, kita akan menjalani beberapa sesi latihan di dalam dewan, kerana kita mempunyai program kecergasan di dalam 'altitude chamber'.

"Sebaik keadaan menjadi kritikal, kami akan membuat beberapa perubahan dari apa yang kami lakukan sekarang ini. Namun pada masa ini, kami masih boleh lakukan apa yang kami mahukan. Kami berharap ia akan hujan lebih banyak dan pencemaran akan berkurangan," katanya.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 10 pagi Jumaat, sebanyak 24 stesen mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala 43 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan IPU sederhana.

Pasukan hoki lelaki negara akan bertemu Great Britain pada pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada 2 dan 3 Nov di Stadium Olimpik Lee Valley.

Malaysia akan menghadapi perlawanan yang sukar, apabila diundi bertemu pemenang pingat emas Olimpik tiga kali, yang terdiri daripada pemain campuran dari pasukan nombor tujuh dunia, England, Wales (18) dan Scotland (19).

Pasukan kebangsaan akan ke Korea Selatan pada 19 Sept sebelum ke Eropah dua minggu lebih awal daripada tarikh perlawanan, bagi mengadakan perlawanan pemanas badan dengan pasukan Perancis, Sepanyol, Jerman atau Belanda.

Olthman berkata, seorang pemain akan digugurkan selepas perlawanan menentang Korea Selatan dan untuk kelayakan Olimpik itu, beliau hanya akan memilih 18 pemain.

"Pada masa ini kami ada 21 daripada 27 pemain. Enam pemain tidak bersama pasukan buat sementara waktu. Ada yang bermain dengan pasukan hoki dalam dewan sebagai persediaan untuk Sukan Sea, dan ada yang bermain untuk Piala Sultan Johor. Mereka masih dalam latihan yang bagus dan mereka akan menyertai pasukan semula selepas kelayakan," katanya.



SUKAN-HOKI (JEREBU) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Sementara itu, pemain tengah skuad hoki negara Fitri Saari dan penyerang negara, Faizal Saari percaya selain kekuatan fizikal, keadaan mental yang kuat, penting untuk memastikan pasukan dapat menepis serangan dari pihak lawan.

Katanya, pemain negara perlu berani ketika beraksi dan lawan secara habis-habisan dalam memburu impian negara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Bagi saya kalau kita bersatu hati dan bekerja keras kita boleh berjaya, tidak boleh lihat kepada rekod lepas. Kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal, tiada yang mustahil bagi saya.

"Biasanya pasukan Eropah, mereka main taktik 'robbers' (menggunakan badan untuk pertahanan), sebab itu mental kita kena kuat, jika mereka main keras kita kena lagi berani," kata Fitri.

-- BERNAMA