KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 berkecai apabila terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan.

Pemain berusia 28 tahun itu gagal meneruskan permainan ketika ketinggalan 2-11 semasa berdepan Aaron Kok Kai Ben dari Pahang pada pusingan ketiga kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Ketika ditemui pemberita, Joo Ven berkata beliau masih belum sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 ketika menyertai Terbuka Taiwan, bulan lepas.

"Masa main tadi, badan saya lemah dan sakit sebab bulan lepas semasa menyertai Terbuka Taiwan saya positif COVID-19.

"Walaupun sudah sembuh, badan saya masih rasa tidak enak jadi saya buat keputusan untuk tarik diri dan bersedia untuk kejohanan seterusnya," kata beliau.

Naib juara Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 itu berkata selepas ini, beliau akan membuat persediaan rapi bagi menyertai lebih banyak kejohanan bertaraf Super 100 untuk melonjakkan rankingnya yang kini berada di kedudukan ke-74 dunia.

"Sekarang saya berada pada kedudukan 70 lebih, masih banyak perlu saya perbaiki dan ujian sebenar hanya akan bermula apabila saya menyertai kejohanan Super 100. Itu kejohanan penting untuk saya menambah mata," katanya.

Untuk rekod, Joo Ven menewaskan Leong Jun Hao untuk meraih gelaran pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019.

Kejohanan berkenaan tidak dianjurkan selama tiga tahun selepas itu berikutan pandemik COVID-19 dan hanya kembali pada edisi 2023.

-- BERNAMA