DEBARAN empat calon sama ada terpilih untuk membimbing skuad hoki lelaki negara bakal berakhir hari ini.

Pengumuman ketua jurulatih Speedy Tigers yang baharu dijangka diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal selepas mempengerusikan mesyuarat khas pertama persatuan itu di Bukit Jalil pada sebelah pagi.

Empat calon itu adalah bekas pengendali kebangsaan iaitu Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Sarjit Singh selain dua calon dari luar negara, Brendan Caralon dari Afrika Selatan serta Glenn Turner dari Australia.

Dharma Raj menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka kerana pihak tersebut sudah diberikan amanah untuk membuat keputusan yang terbaik.

Beliau yang merupakan pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia sejak 2020 memohon jawatan itu kerana mahu cabaran yang lebih besar iaitu membawa Speedy Tigers ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

"Saya tiada masalah, hormat dengan apa sahaja keputusan kerana ia adalah pilihan terbaik. Bukan sahaja untuk sukan hoki, tapi ia adalah amanah negara.

"Saya ada impian dan mahu cabaran lebih besar bawa Malaysia ke pentas dunia dan Sukan Olimpik," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat. 

Dharma Raj. - Foto Agensi/Sinar Harian

Sukan Sinar pada Rabu melaporkan kesemua calon sudah melalui proses temu duga pada petang Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, kesemua empat calon jurulatih tersebut mengemukakan perancangan dan hala tuju pasukan bagi menunjukkan tanda kesungguhan mereka untuk melatih Speedy Tigers.

Dalam pada itu, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, siapa pun jurulatih yang dipilih perlu berupaya membawa Speedy Tigers pergi jauh dan kembali digeruni di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, ia bukan sekadar mengisi kekosongan, sebaliknya perlu berwibawa mengubah landskap sukan tersebut, terbuka, tidak terpengaruh dengan persekitaran dan berani membuat perubahan drastik.

Tambahnya, kedua-dua calon tempatan mempunyai karakter yang hebat ketika bergelar pemain dan semasa menjadi jurulatih, namun yang terbaik ialah mempunyai jiwa yang besar untuk mengubah budaya hoki negara.

"Dua calon tempatan adalah kitar semula kerana mereka pernah menjadi jurulatih kebangsaan. Saya tiada masalah sama ada Sarjit atau Dharma Raj, namun apa yang penting mereka perlu lihat ke hadapan dan apa keperluan pasukan.

Sarjit. - Foto Agensi/Sinar Harian

"Mereka bekas pemain negara. Sarjit seorang pemain yang stailo dan Dharma Raj pula antara jurulatih yang berpengalaman luas.

"Apa sasaran kita, bukan tidak boleh beri peluang kepada jurulatih tempatan, tetapi akhirnya gagal dan kemudian tukar jurulatih.

"Apa yang penting, siapa pun jurulatih perlu lihat kemampuan untuk pergi jauh. Bukan sekadar pada Sukan SEA dan peringkat Asia, tapi Piala Dunia dan Sukan Olimpik," katanya.

Cabaran pertama jurulatih baharu itu ialah menyediakan skuad bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 pada Mei depan. - Sinar Harian