KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki meningkat naik negara, Justin Hoh berpotensi untuk menjadi pengganti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek berkata, Justin merupakan pemain terbaik pernah dibimbingnya sepanjang beliau mengemudi kem perseorangan remaja sebelum ini.

"Dia (Justin) bakat terbaik saya ada ketika itu, dalam masa tiga tahun terus menjadi. Dia seorang pemain yang mendengar (tunjuk ajar) dan hendak berjaya.

"Sebab itu dia cakap saya sebagai bapanya. Dia tahu sebab dia serahkan jiwa dan raga untuk jadi pemain berjaya," katanya pada sidang media semalam.

Justin, 19, sebelum ini pernah merangkul beberapa gelaran antaranya Kejohanan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman, Terbuka Croatia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023.

Bukan sahaja menganggap Misbun sebagai bapa sendirinya, malah pemain ranking ke-67 dunia itu dalam satu hantaran di laman Instagram pada Ahad lepas, merasakan bekas pemain negara itu adalah jurulatih terbaik baginya.

Jumaat lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan Misbun dan badan induk badminton negara itu bersetuju secara bersama untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad muda negara di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Namun semalam, Misbun mendakwa keputusan BAM tersebut bercanggah dengan apa dimaklumkan kepada media dan memberitahu beliau sebenarnya diberhentikan selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas bagi membentangkan pascanilai kegagalan skuad remaja di Yogyakarta.

Biarpun hampa, bekas ketua jurulatih perseorangan negara itu mengakui tidak mempunyai kuasa untuk membuat bantahan dan hanya akur dengan keputusan tersebut.

Sementara itu, Misbun berkata, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan langkah BAM menyerap Justin ke dalam skuad senior tahun lepas kerana menyifatkan anak buahnya belum matang sepenuhnya berdepan pemain lebih berpengalaman daripada beliau.

Beliau berkata, Justin sebelum ini pula dikhabarkan 'berkeras' tidak mahu 'dinaikkan pangkat' ke skuad senior selain kecewa dengan kecederaan menimpa pemain tersebut pada April lepas.

Justin terpaksa berehat panjang selama enam bulan susulan kecederaan achilles tendon kiri yang dialami ketika menjalani latihan, April lepas. - BERNAMA