Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih menunggu surat rasmi daripada Syarikat My Inspiration Sdn Bhd yang mengumumkan menarik diri daripada kerjasama dengan persatuan itu semalam, bagi menguruskan pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Timbalan Presiden Kafa Datuk Seri Afandi Hamzah berkata setakat ini pihaknya belum menerima surat rasmi daripada syarikat terbabit walaupun perkara tersebut telah dilaporkan media.

"Kami hanya mengetahui perkara ini melalui berita dan saya difahamkan ada kenyataan dikeluarkan pihak tertentu berkaitan perkara ini (tarik diri). Masa terdekat ini, kami mengambil pendekatan tunggu apa-apa berkaitan isu itu secara rasmi dan bertulis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan selepas hampir tiga bulan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kafa, syarikat terbabit mengambil keputusan menarik diri berikutan mendakwa tidak ada persefahaman dalam perjanjian terbabit.

Sebelum ini My Inspiration Sdn Bhd menguasai 70 peratus saham dalam Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd (KRW) syarikat yang ditubuhkan menerusi kerjasama itu bagi mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi Kafa.

Afandi berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh mengeluarkan kenyataan selanjutnya berkaitan isu itu.

"Setelah menerima surat rasmi kami akan mengeluarkan kenyataan selanjutnya dan kami melihat tidak cukup hanya satu surat rasmi bertulis, kerana apa-apa sekali sekiranya mahu membatalkan perjanjian perlu melalui proses sepatutnya.

"Terlalu awal untuk kami membuat kenyataan kerana kami tahu perkara itu melalui media," katanya.

-- BERNAMA