Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat keputusan terakhir berhubung penjualan pasukan The Red Warriors (TRW) selepas mengadakan perbincangan dengan pelabur, Norizam Tukiman, di Kuala Lumpur, esok.

Setiausaha Agung KAFA Husin Deraman berkata kedua-dua pihak telah bertemu pada Khamis untuk proses taklimat sebelum perbincangan seterusnya esok.

"Keputusan akan dibuat petang esok sebelum diumumkan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini akhbar melaporkan pelabur itu antara individu yang berminat membeli pasukan itu.

Sementara itu, Norizam, ketika ditemui pemberita, berkata kehadiran beliau ke negeri itu untuk melihat sendiri keadaan yang dilalui KAFA ketika ini.

"Kehadiran saya bagi mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan pasukan Kelantan. Harap penyokong doa yang baik-baik untuk kami berjumpa jodoh dengan pasukan Kelantan.

"Saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan selanjutnya untuk menjaga kepentingan kedua-dua pihak," katanya.

-- BERNAMA