Bintang bertopeng sensasi WWE, Kalisto membuat kejutan apabila berjaya merampas Kejuaraan Amerika Syarikat WWE di acara Raw semalam.

Kalisto yang merupakan bekas Juara Beregu NXT diberi peluang untuk merebut kejuaraan tersebut daripada penyandang sebelumnya, Alberto Del Rio setelah berjaya menumpaskan bintang Mexico tersebut di acara Smackdown minggu lalu. Del Rio yang beranggapan bahawa kemenangan tersebut hanyalah bernasib baik, sekali lagi mencabar Kalisto di acara Raw dan mempertaruhkan Kejuaraan Amerika Syarikat yang sedang disandangnya.

Namun selaku bekas juara dunia beberapa kali, Del Rio bukanlah sang juara yang mudah untuk ditumbangkan. Sepanjang 10 minit di awal perlawanan, Del Rio dilihat menguasai perlawanan dan banyak aksi-aksi melayang di udara yang dipersembahkan Kalisto berjaya dikesampingkan Del Rio.

Begitu juga dengan Kalisto. Walaupun pelbagai gerakan telah dijamu kepadanya, semangat tidak mudah menyerah kalah masih menebal di dalam jiwa bintang bertopeng Mexico ini.

Del Rio ternyata kecewa kerana gagal menumpaskan Kalisto. Dan gerakan pacakan kaki di penjuru gelanggang ke atas badan Kalisto menjadi titik tolak berakhirnya penguasaan beliau.

Kalisto berjaya mengelak tendangan pacak tersebut, dan dengan satu gerakan bergulung, Kalisto sekaligus melakukan tindanan pin dengan memegang kedua belah kaki Del Rio dengan kemas, dan pengadil menyudahkan kiraan satu, dua dan tiga, seterusnya memahkotakan Kalisto selaku juara Amerika Syarikat yang baharu.

Bintang generasi baharu berusia 29 tahun ini mengingatkan kita kembali kepada seorang lagi bintang bertopeng yang pernah mengungguli pentas WWE sebelum ini iaitu Rey Mysterio. Dengan gaya gusti lincah dan layangan badan anti graviti, Kalisto dilihat mampu untuk mengulangi sejarah kejayaan Rey Mysterio di WWE beberapa tahun dahulu. Walaupun bertubuh kecil, namun mereka berjaya mendepani penggusti yang bersaiz lebih besar, berbekalkan semangat juang yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, diva WWE, Sasha Banks dan Paige terpaksa direhatkan susulan mengalami kecederaan dan perlu menjalani sesi pemulihan. Sasha Banks yang merupakan bekas Juara Wanita NXT dilaporkan mengalami kekoyakan tisu ligamen di bahagian lutut, manakala bekas Juara Wanita NXT dan Juara Diva WWE Paige pula diberitakan mengalami sedikit konkusi dan perlu menjalani beberapa pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan untuk beraksi semula.

Pastinya ketiadaan diva-diva hangat ini sedikit sebanyak bakal mengurangkan seri di WWE selepas ini. Ditambah pula dengan kempen perjalanan ke Wrestlemania yang bakal bermula beberapa minggu lagi, sudah tentu WWE perlu memikirkan beberapa langkah drastik untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia di Facebook yang kini telah menghimpunkan lebih 14,000 peminat gusti di Malaysia.
Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.