Pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menyangkal kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail yang mendakwa pasukannya gagal melangsaikan pembayaran tunggakan gaji pemain.

Kamarul Ariffin melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan PFAM itu kerana Izham sendiri dikatakan hadir pada majlis penyerahan tunggakan gaji kepada 12 pemain musim 2018 itu pada Februari lepas.

Justeru, beliau menuntut PFAM memohon maaf kepada PDRM kerana kenyataan itu telah mencalar imej pasukannya selepas berusaha keras memastikan bebanan hutang daripada pengurusan lama diselesaikan.

"PDRM sebenarnya tidak terbabit langsung dengan apa diperkatakan PFAM serta terkejut kerana beliau (Izham) sendiri ada pada majlis tersebut. CEO PFAM (Izham) memberikan kami surat penghargaan kepada pengurusan PDRM kerana berjaya melangsaikan hutang berdasarkan aduan pemain pada musim 2018.

"Saya ada resit bukti pembayaran kepada pemain terlibat dan saya hairan kenapa perkara ini boleh timbul balik pada hari ini, jadi saya minita PFAM bagi penjelasan kembali terhadap kenyataan mereka serta jika perlu mohon maaf kepada PDRM, " katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Isnin.

PFAM pada Ahad mendedahkan terdapat banyak pasukan masih belum melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM6.4 juta termasuk Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, PDRM, Felda United serta ATM yang dikatakan memungkiri janji membayar secara berperingkat kepada pemain terbabit.


Selain itu, Kamarul melahirkan rasa tersinggung dengan apa diperkatakan Izham yang memperkecilkan Peta Hala Tuju FAM, F30 dan Next50 Strategic Blueprint oleh MFL susulan isu tunggakan gaji yang berpunca daripada pengurusan pasukan dan kelab berkenaan.

Beliau meminta perkara itu tidak sepatutnya disensasikan kerana aspek tunggakan gaji adalah antara isu yang mahu diatasi FAM dan MFL dalam pelan jangka masa pendek dan panjang mereka.

"Saya amat tersinggung apabila PFAM mempertikai bahawa dasar FAM iaitu F30 serta MFL iaitu Next50 tidak akan ke mana-mana, jadi kepada PFAM tolong kaji kembali apa yang anda perkatakan.

"Jika perlu, kami semua termasuk FAM dan MFL boleh selesaikan cara baik perkara ini tanpa perlu mana-mana pihak berkecil hati," tambah beliau.

-- BERNAMA