PENGGEMPUR Tottenham Hotspur, Harry Kane, menegaskan dia berasa sangat cergas dan berada pada tahap terbaik walaupun melalui permulaan suram dalam Liga Perdana Inggeris.

Selepas meraih 41 gol dalam kempen 2018, dia hanya menyumbat dua gol dalam lima perlawanan buat Spurs pada musim ini serta gagal memberi kesan ketika tewas 2-1 di tangan Liverpool, kelmarin.

Penyerang England itu dikatakan memerlukan tempoh rehat selepas membantu negaranya mara ke separuh akhir Piala Dunia, di mana dia turut memenangi anugerah Kasut Emas di Russia.

Namun, Kane yang berusia 25 tahun menolak sebarang dakwaan bahawa dia bergelut dengan kecergasan dan menegaskan akan membuktikannya dalam aksi berdepan Inter Milan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu nanti.

"Orang ramai sentiasa melihat kepada hasil, terutama apabila anda seorang pemain utama dalam pasukan dan ditugaskan untuk menjaringkan gol," ujar Kane.

"Sebagai satu pasukan, kami mampu beraksi lebih baik dan selaku penyerang, saya berada pada tahap kecergasan kerana jika tidak, pengurus pasukan tidak akan memilih saya.

"Dia mempercayai saya, saya juga yakin akan diri saya dan diharapkan saya dapat menyumbat jaringan pada Rabu nanti dan pulang tidur."

Kane dilihat bergelut ketika berdepan Liverpool, gagal memberikan impak sehingga Spurs mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Namun, pengendali Spurs, Mauricio Pochettino, menolak sebarang spekulasi bahawa Kane akan direhatkan untuk aksi di San Siro.

"Saya rasa agak gila untuk berfikir sesuatu yang berbeza. Ya, saya tidak tahu apa yang anda mahu daripada saya dan apa yang akan saya jawab.

"Kane adalah salah seorang penyerang terbaik dunia. Saya tidak hirau dia tidak beraksi cemerlang ketika bertemu Liverpool.

"Dia akan menyumbat jaringan dan menampilkan aksi hebat seperti yang diharapkan. Tiada masalah."